
Akim & The Majistret akan menggegar bumi Singapura pada 26 Januari tahun hadapan.
Buat julung-julung kalinya, band popular, Akim & The Majistret bakal mengadakan konsert diberi judul konsert Planet Akim & The Majistret di Esplanade Singapura pada 26 Januari tahun depan.
Menurut ketua kumpulan tersebut, Zimi, konsert anjuran Adi Media Ptd. Ltd. bakal diadakan sebagai tanda terima kasih kepada peminat di negara itu yang tidak henti-henti memberi sokongan kepada mereka.
“Konsert diberi nama Planet Akim & The Majistret kerana ingin membawa peminat berada dalam planet yang dipelopori muzik band itu.
“Ia juga sebagai tanda terima kasih kepada peminat di Singapura yang tidak jemu-jemu menyokong kami,” jelas Zimi.
Tambah Zimi lagi, mereka akan menyanyikan lagu popular Akim & The Majistret termasuk mengejutkan peminat menyanyikan single terbaharu.
“Bukan hanya single baharu, kami juga akan menyanyikan lagu berjudul Laina Untuk Laila dalam bahasa Mandarin.
“Kami tidak sangka terdapat ramai peminat berbangsa Cina yang meminati lagu-lagu seperti Mewangi, Potret dan Obses,” jelasnya.
Sementara itu, vokalisnya, Akim memberitahu bahawa mereka sedang mengumpul material untuk menghasilkan album terbaharu pada tahun depan.
“Selepas Patriot, kami akan menghasilkan sebuah album berbahasa Melayu dan sebuah album Mandarin. Kalau tiada aral melintang, insya-Allah tahun depan kami akan lancarkan dua album tersebut.
“Kami ingin membina nama di negara China. Sejujurnya, bagi kami China sudah menjadi sebuah kuasa yang bukan sahaja hebat dalam bidang ekonomi malah muzik. Doakan yang terbaik untuk kami memilih haluan memasarkan bakat di negara berkenaan.
Dalam pada itu, Pengasas Adi Media Pte. Ltd., Nur Dian Mohamad Rashid, berkata konsert terbabit adalah hadiah kepada peminat di Kota Singa selepas persembahan akustik mereka pada Celeb-Fest Singapore 2017.
Penganjur juga yakin kumpulan popular yang pernah memenangi anugerah Persembahan Terbaik, Anugerah Juara Lagu ke-30 itu mampu menarik peminat menghangatkan konsert mereka, termasuk dari Malaysia.
“Pada Ramadan lalu, mereka datang ke Singapura bagi mengadakan persembahan di Celeb-Fest Singapore 2017 anjuran kami. Walaupun sekadar mempersembahkan dua lagu secara akustik, peminat yang hadir cukup ramai. Jadi, saya yakin peminat memang menunggu kehadiran mereka ke Singapura,” katanya.
Menurut Nur Dian lagi, peminat juga akan berpeluang bertemu dan beramah-mesra bersama anggota kumpulan terbabit dengan membeli tiket kategori 1.