Fatin Afeefa hanya fikir kerja, anak


Jika ditanya pada setiap pasangan yang mendirikan mahligai cinta, pastinya setiap daripada mereka mendambakan sebuah hubungan yang berkekalan hingga ke akhir hayat.

Hakikatnya, manusia hanya mampu merancang. Rumah tangga yang dibina antara pelakon Fatin Afeefa dan bekas suami, Adam Shahz pada 21 Disember 2013 akhirnya runtuh jua.

Itu kisah lama. Kini Fatin mahu menutup rapat buku suka duka perkahwinannya yang berakhir pada 30 Mei lalu.

Ternyata, wanita muda berusia 22 tahun itu kuat berdiri sebagai ibu tunggal yang harus membesarkan dua orang cahaya mata, Adam Aisy Arrian, 4, dan Ivy Herra Sophia, 2.

“Sejujurnya, fokus saya kini adalah lakonan dan membesarkan anak-anak.

“Jika boleh mencari pendapatan lebih, memang saya akan lakukan demi memberikan yang terbaik buat mereka,” mesra Fatin membuka bicara.



Lakonan

Diajak berbicara soal lakonan cemerlang ketika membintangi drama rantaian Red Velvet arahan Hadith Omar yang baru sahaja tamat tayangan di kaca televisyen baru-baru ini, pemilik nama Fatin Nur Afifah Shamsudin itu menguntum senyuman.

Mengakui ramai peminat kembali menyedari kehadirannya sebagai anak seni menerusi drama berkenaan, Fatin menyifatkan drama yang dijayakan bersama Alif Satar, Hafidz Roshdi dan Amira Othman itu banyak menaikkan namanya semula.

“Sebenarnya saya sudah kembali berlakon selepas melahirkan anak kedua. Ketika itu saya menerima tawaran untuk berlakon dalam filem berjudul Kampung Drift dan Hospital.

“Mungkin disebabkan penonton jarang menonton filem Melayu di panggung membuatkan mereka tidak sedar saya masih aktif berlakon biarpun ketika itu masih menjadi isteri orang.

“Drama Red Velvet ditayangkan di televisyen pada waktu perdana. Memang diakui drama berkenaan sangat membantu menaikkan semula nama saya,” terangnya.

Kata Fatin, impak daripada drama berkenaan, dia kembali menjadi antara nama pilihan pengarah. Bukan itu sahaja, hari-harinya kini dipenuhi dengan jadual penggambaran.

Terbaharu, Fatin sibuk menjalani penggambaran drama sebanyak 28 episod berjudul Kekasih Paksa Rela untuk slot Akasia di TV3 dan drama 80 episod berjudul Monalisa untuk saluran Astro Prima.

“Jika dilihat, semua drama yang sedang saya jayakan ini terdiri daripada episod panjang. Saya juga baru mendapat tawaran berlakon filem pada tahun hadapan tetapi ia masih dalam perbincangan.

“Alhamdulillah itu rezeki buat saya dan anak-anak kerana sudah tiba masanya untuk kembali fokus dalam lakonan yang memang saya minat sejak kecil,” katanya panjang lebar.

Biarpun dihujani pelbagai tawaran lakonan, pelakon yang popular menerusi naskhah Tentang Bulan itu sempat berkongsi prinsip pegangannya.

Sebagai anak seni, Fatin begitu mementingkan siapa pelakon gandingan yang dipadankan bersamanya dalam sesebuah drama.

“Saya tidak memilih watak tetapi sebelum menerima sebarang tawaran, terlebih dahulu saya akan bertanya kepada pihak produksi tentang siapa pelakon gandingan yang akan bekerja bersama nanti. Hal ini penting dalam memberi impak terhadap hasil lakonan.

“Selain itu, saya juga mementingkan soal bayaran. Bukan berkira tetapi jika hasil lakonan sekadar menampung duit minyak dan tol untuk ke lokasi penggambaran, saya memang akan menolak tawaran itu,” terangnya yang mengimpikan untuk membawa watak berdepan tekanan emosi berat seperti perempuan psiko atau gila suatu hari nanti.

Pengganti

Memikul tanggungjawab sebagai ibu tunggal pada usia yang masih muda, Fatin juga tidak ketinggalan ditebak soal kemampuannya dalam membesarkan anak-anak.

Kongsi wanita itu, dia sentiasa menerapkan semangat positif dalam diri yang secara tidak langsung membuatkan dirinya mampu berdepan segala dugaan dengan tenang.

“Tugas menjadi ibu tunggal akan menjadi sukar sekiranya kita sering memikirkan hal negatif dan susah.

“Ramai bertanyakan soal cabaran membesarkan anak pada usia muda. Mungkin cabarannya saya terpaksa membesarkan secara sendirian tetapi sebagai ibu saya perlu bijak menguruskan masa, selain menyediakan keperluan yang secukupnya buat mereka sebelum keluar bekerja,” tuturnya mesra.

Formulanya mudah, dalam kesibukan berlakon dia pasti akan mencuri sedikit waktu untuk berjumpa dengan anak-anak setiap hari.

“Biarpun jadual lakonan saya sangat padat, saya tetap memastikan untuk memandang mata anak-anak setiap hari. Ketika bekerja, mereka akan dihantar ke rumah ibu yang terletak berdekatan dengan rumah saya.

“Kadangkala saya juga membawa anak-anak ke lokasi penggambaran sekiranya hanya perlu menghabiskan satu atau dua babak sahaja dalam sehari,” tambahnya.

Sebelum menutup bicara, Fatin sempat diusik soal pengganti bagi mengisi kekosongan hati. Penuh tenang, wanita itu menjawab:

“Saya tidak mencari mana-mana lelaki kerana hanya fokus kepada pekerjaan dan anak-anak. Jika saya mempunyai teman lelaki sekarang, fokus saya akan beralih kepada lelaki itu sahaja.

“Pendek kata saya tidak mahu anak-anak terabai. Biarlah saya membesarkan mereka terlebih dahulu. Bagaimanapun, saya tidaklah menolak andainya mempunyai jodoh untuk berkahwin lagi.”

Bergelar ibu tunggal kepada dua orang cahaya mata, Adam Aisy Arrian dan Ivy Herra Sophia, Fatin Afeefa tidak mahu memikirkan anasir negatif yang ingin menjatuhkan dirinya. Janda muda itu sebaliknya nekad mahu fokus kepada kerjaya lakonan dan membesarkan anak-anak.

Post a Comment

Previous Post Next Post