
Pelakon dan pengacara, Dayana Roza, 26, mengaku tidak kisah pandangan segelintir pihak yang menganggap dia seorang gadis liar.
Dayana atau Nur Dayana Kamsun Baharin berkata dia memang tidak terkejut dengan dakwaan itu kerana dirinya sering dikait gosip negatif.
"Bagi saya, biarlah orang nak cakap apa. Lagi pun, mulut orang bukan boleh ditutup.
"Apa yang pasti, saya, keluarga dan mereka yang rapat tahu perkara sebenar. Itu yang paling utama dan penting.
"Setakat dengar cakap orang, memang tidak boleh buat apa. Ia pandangan masing-masing," katanya.
Mengulas sejauh mana kebimbangannya terhadap gosip negatif itu, Dayana berkata dia enggan terlalu memikirkannya.
"Perkara yang membabitkan pandangan dan penilaian orang adalah sesuatu yang bersifat peribadi.
"Untuk saya, tidak perlu layan dan teruskan kehidupan seperti biasa. Jika dilayan, mana tahu jadi lain pula.
"Apapun, selagi gosip negatif dan cerita sensasi itu tidak mengganggu karier saya. Biarkan saja," katanya.
Terdahulu, Dayana pernah dikait gosip suka berhibur di kelab termasuk dia juga didakwa berkelakuan liar dan mabuk.
Apapun, anak tunggal kekahiran ibu kota ini menafikannya dan enggan mengulas lanjut.
Ditanya sehingga bila dia akan terus bertahan dengan gosip negatif terhadapnya, Dayana berkata dia tidak mahu memberi komen.