Datuk Seri Vida Tak Tergugat Strategi Aliff Syukri, Sajat


Vida berasakan strategi pemasaran Aliff Syukri berjaya.

Pengasas kosmetik, Datuk Seri Vida menyifatkan strategi usahawan Datuk Seri Aliff Syukri mempromosikan lagu Abang Nak Tegur bergandingan bersama Nur Sajat sesuatu yang berjaya.

Vida atau nama sebenar Hasmiza Othman, 46, berkata, dia turut berbangga dengan pencapaian lagu tersebut yang mampu mencapai jumlah tontonan tinggi di YouTube.

Meskipun awalnya lagu ciptaan Edry Abdul Halim ini menerima jumlah tanda tidak suka (dislike) yang banyak di laman tersebut, Vida berasakan ia secara tidak langsung membantu mempromosikan lagu itu.

"Baguslah... nampak strategi dia berjaya. Mulanya nyanyi dengan Sajat dapat dislike banyak tapi bila duet dengan isterinya, Datin Nur Shahidah, ramai pula yang suka.


Vida kagum dengan strategi pemasaran lagu Abang Nak Tegur.

"Apa yang boleh saya kata, selamat datang ke industri hiburan. Kita dah jadi artis you all," katanya kepada mStar Online.

Sebelum ini, muzik lirik lagu nyanyian Aliff bersama Sajat mendapat lebih 300,000 ribu tanda tidak suka di YouTube.

Manakala, lagu Abang Nak Tegur 2.0 rakaman semula Aliff bersama isterinya, Nur Shahida mendapat maklum balas positif pendengar dan menjadi trending nombor satu di laman tersebut sejak dimuat naik pada 12 Disember lalu.


Lagu asal Abang Nak Tegur nyanyian Aliff dan Sajat menerima jumlah dislike terbanyak di laman Youtube.

Sementara itu, Vida yang pernah muncul dengan lagu I Am Me tidak rasa tergugat dengan pembabitan Aliff dalam industri seni suara.

"Sejujurnya, tak tergugatlah. Masing-masing ada cara tersendiri dalam mempromosikan lagu dan saya senang melihat mereka turut berada dalam industri.

"Secara tak langsung, lagu ini mampu mempromosikan produk jualan kami dipasaran," katanya.


Lagu Abang Nak Tegur 2.0 nyanyian Aliff dan isteri Shahida tular dan trending di YouTube.

Ditanya sama ada dia memasang impian untuk berduet dan bergandingan bersama Aliff dan Sajat dalam lagu terbaharu Vida memberitahu, dia masih belum memikirkan mengenai perancangan ke arah itu.


"Tak tahu lagi sebab genre muzik kita tak sama. Tengoklah kalau ada peluang akan datang," ujarnya.

Lagu I Am Me nyanyian Vida yang dimuat naik di saluran YouTube KRU Music menerima lebih 10 juta tontonan sejak 13 Julai lalu.

Post a Comment

Previous Post Next Post