Selain vokalis utamanya, Ringgo yang begitu popular, gitaris kumpulan Arrow iaitu Ayie turut diminati ramai dan selepas mereka tidak lagi aktif dalam industri hiburan tanah air sekitar 2001, ramai juga tertanya-tanya ke mana perginya Ayie.
Mula bermain muzik ketika berusia 14 tahun, mana mungkin anak jati ibu kota itu sanggup ‘menggantungkan’ gitarnya. Perjalanan getirnya untuk menjadi pemuzik juga membuatkan perasaan cintanya terhadap dunia muzik tidak pernah berkubur.
“Memandangkan bukan dilahirkan dalam keluarga berdarah seni, hasrat saya untuk menceburi bidang ini tidak mendapat sokongan sesiapa termasuk ibu bapa. Betapa sukarnya untuk saya meneruskan minat itu kerana tidak mampu membeli gitar sendiri.
“Satu hari, saya terjumpa gitar buruk dalam tong sampah. Betulkan sedikit keadaan gitar itu dapatlah saya memetiknya dan sekitar usia 16 tahun saya mula ‘busking’ di Pasar Seni yang dulunya dikenali dengan nama Central Market (CM).
“Ketika berusia 21 tahun, saya menyertai Arrow dan kami ada empat album . Zaman itu, jualan album sangat laris. Dalam persembahan, kami main muzik secara ‘live’ dan boleh mengiringi apa saja lagu,” katanya.
Tegas Ayie, dia bekerja keras demi membuktikan kepada keluarganya, bermain muzik juga boleh menjamin kehidupan.
“Saya tak salahkan ibu bapa kerana dunia muzik dulu tak seperti sekarang yang berkembang pesat dan ada banyak platform termasuk YouTube,” katanya.
Ujar Ayie lagi atau nama sebenarnya Zairi Amri, 43, keadaan hari ini jauh berbeza daripada dulu apabila instrumen banyak ‘dibantu’ teknologi kejuruteraan tercanggih.
“Untuk menyiapkan rakaman sesebuah lagu, muzik boleh ‘copy and paste’ tidak seperti kami dulu yang bermain muzik ‘live’ sehingga habis rakaman lagu dan selagi tidak sempurna, berkurunglah kami dalam studio.
“Sebab itu saya lihat band sekarang jarang boleh mengiringi penyanyi lain di pentas melainkan lagu mereka sendiri saja. Itu pun ada yang jadi pemain muzik ‘simpanan’.
“Jadi di manakah keseronokan dan kepuasan sebagai pemuzik?” katanya.
Ayie bersama anggota Stigma.
Sambung pengajian
Berbalik kepada ‘kehilangan’ Ayie selepas meninggalkan Arrow pada 2001, dia menyambung pengajian dalam jurusan muzik di Institut Teknologi MARA, Shah Alam (kini UiTM), major instrumen gitar dan cello sebagai minor.
“Tahun kedua pengajian, saya aktif bermain cello dan menjadi pemuzik sambilan dengan Orkestra RTM, Orkestra DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) dan Orkestra Simfoni Kebangsaan (Istana Budaya) sehinggalah tamat pengajian.
“Kemudian saya jadi pemuzik tetap Orkestra DBKL selama tiga tahun. Selepas itu saya berhenti untuk fokus menerbit dan menggubah lagu, menghasilkan muzik skor dan penggambaran video.
“Apabila rindu untuk memetik gitar semula, saya bergerak sebagai pemuzik bebas. Saya banyak jadi pemuzik undangan untuk konsert artis luar dan tempatan,” katanya.
Terbaru, Ayie menerima pelawaan kumpulan Stigma untuk menjadi gitaris mereka.
“Stigma sezaman dengan Arrow jadi kami sudah lama berkawan. Memang tiada masalah langsung untuk saya menyertai mereka dan kami buat persembahan ‘live’ di pentas,” katanya.
Bersama Stigma, Ayie menukar namanya menjadi Ayies untuk membezakannya ketika bersama Arrow dulu. Mereka baru saja melancarkan album mini memuatkan empat lagu antaranya, Rinduku Rindumu dan Mengubah Sebuah Rindu.
“Impian untuk mengumpul semula anggota Arrow dalam projek khas tak mungkin jadi kenyatan kerana kami tak tahu ke mana perginya Bad.
“Untuk ‘reunion’ mesti semua anggota asal, barulah kemunculan Arrow memberi makna besar kepada kami dan peminat,” katanya.
Antara lagu popular Arrow adalah Niat Hati Tak Nak Berpisah, Dah Berpisah Apa Nak Buat, Selimutkanku Dengan Asmaramu, Tuju Tuju Rindu, Aku Tak Marah dan Haruskah Kita Berpisah.
Sekadar imbasan, pada 2004, Ayie bertemu jodoh dengan penyanyi dangdut Ani Mayuni dan dikurniakan tiga cahaya mata.