Ajai Depan Rumah Pun Boleh Jatuh


Ajai bersama isterinya, Liza membuka restoran Asam Pedas Hirup di Kuala Lumpur.

Penyanyi dan komposer Ajai optimis dengan keputusannya membuka restoran Asam Pedas Hirup di ibu negara walaupun keadaan ekonomi yang tidak menentu sejak kebelakangan ini.

Ajai atau Mohd Faizal Maas, 41, berkata, setiap perniagaan yang dilakukan mempunyai cabaran dan risiko tersendiri namun terpulang kepada usaha seseorang untuk menjayakannya agar ia dapat diterima pelanggan.

"Ramai yang dah minta Asam Pedas Hirup dibuka di Kuala Lumpur. Saya sangat gembira dapat berkongsi resipi dan masakan saya dengan peminat.

"Memang buka kedai makan ini satu risiko ditambah dengan keadaan ekonomi sekarang tetapi rsiko itu ada di mana-mana. Kita keluar melangkah depan rumah pun boleh terjatuh!

"Apa-apa pun kita kena yakin dan ingatkan diri sendiri serta jangan lupa bersyukur dengan apa yang telah dikurniakan," kata Ajai.


Ajai menunjukkan bakat memasaknya.

Restoran tersebut yang terletak di A2-0-19, Jalan 1/152, Taman OUG Parklane, Kuala Lumpur.

Ia akan beroperasi pada Khamis ini bermula pukul 11 pagi hingga 10 malam dan ditutup pada setiap hari Isnin.

Bercakap mengenai minatnya terhadap bidang masakan, Ajai berkata, asam pedas Muar yang juga resepi keluarganya itu diwarisi daripada Allahyarham ibu dan kakaknya.



Kata Ajai, pelanggan yang datang untuk menjamu selera di restorannya itu nanti bakal merasai air tangannya sendiri apabila dia memasak untuk mereka.

"Memasak ini memang saya didedahkan oleh ibu dan arwah kakak saya. Dari situ timbul minat dan Alhamdulillah ia memberi satu lagi sumber rezeki.

"Keistimewaan Asam Pedas Muar ini adalah resipi keluarga saya dan paling penting saya sendiri akan masak untuk pelanggan yang datang.


Pelanggan yang datang berpeluang merasai masakan Ajai.

"Selain asam pedas ada satu lagi hidangan ialah Nasi Ayam Raja," ujarnya.

Dalam pada itu, Ajai berkata, walaupun bakal sibuk di restoran namun dia masih mengutamakan kerjaya utamanya sebagai komposer.

"Sudah tentu muzik adalah minat utama saya manakala perniagaan dan memasak pula bakat serta hobi baru yang saya jumpa dalam diri saya.

"Ini juga salah satu cabang seni sebab memasak pun kena ada seni. Bila waktu siang, saya ada pekerja yang membantu urusan di restoran manakala rutin di studio pula di sebelah malam," katanya.

Asam Pedas Hirup turut mempunyai cawangan di Pulau Pinang dan menjadi hasratnya untuk membuka beberapa lagi cawangan di seluruh negara.

Post a Comment

Previous Post Next Post