Syatilla Melvin padam rasa cemburu pada lakonan suami


Pelakon Syatilla Melvin, 26, mengakui tidak pernah cemburu terhadap pasangan heroin suaminya, Shaheizy Sam sama ada menerusi drama mahu pun filem terutamanya melibatkan babak mesra.

Katanya, sebagai seorang pelakon, dia sudah sedia maklum mengenai komitmen dan keperluan pelakon, termasuk suami sendiri.

Ditemui ketika majlis tayangan perdana filem Pinjamkan Hatiku baru-baru ini yang menggandingkan Sam bersama Ayda Jebat, filem arahan Osman Ali itu turut menampilkan beberapa babak mesra dan romantik yang dijayakan kedua perlakon utama tersebut.

“Kalau ditanya saya mengenai babak Sam menerusi filem tersebut, saya tidak berpeluang menonton keseluruhan cerita kerana terpaksa berada di luar panggung. Saya harus menjaga anak yang kebetulan merengek ketika tayangan perdana itu berlangsung.

“Bagaimana pun, saya percaya baik pelakon dan semua kru profesional hanya bekerja, tidak lebih sekadar memenuhi keperluan skrip dan jalan cerita. Sebagai isteri kalau ditanya mengenai hal tersebut memanglah akan wujud rasa cemburu, tetapi saya tidak terlalu memikirkan hingga boleh membawa kepada sesuatu yang negatif.


“Sebaliknya, saya terimanya daripada sudut positif ke arah perkembangan kerjayanya. Kami pun saling mengenali ketika sama-sama berada dalam industri. Jadi persefahaman itu paling penting. Saya tiada masalah untuk itu kerana saya lebih mengenalinya,” kongsi Syatilla jujur.

Pada masa sama, ibu kepada Syeriv Samheizy, enam bulan, ini turut menambah, sebagai suami isteri, mereka perlu saling percaya dan yakin suaminya itu sedia tahu perihal batas sebagai suami dan bapa.

“Semuanya dilakukan secara profesional. Saya beri kebebasan kepada Sam untuk melunaskan tugas sebagai pelakon dan saya yakin dia sudah melakukannya dengan baik.

“Sam juga tahu batas sebagai suami. Begitu juga dengan saya, jika saya melakonkan babak tertentu bersama pelakon lelaki lain, saya juga perlu sedar dan tahu akan batas dan tidak berlebih-lebih hingga menimbulkan perasaan kurang senang suami,” jelas Syatilla yang mula terjun ke dunia lakonan setelah menyertai Pencarian Dewi Remaja lebih tujuh tahun lalu.

Filem Pinjamkan Hatiku bakal menemui peminat seluruh Malaysia pada 30 November depan.

Turut menjayakan filem ini ialah Farid Kamil, Lia Natalia, Azizah Mahzan dan ramai lagi.

Post a Comment

Previous Post Next Post