Stacy Anam tidak kisah bersaing


Terkenal dengan imej lincah di pentas, Stacy Anam bagaimanapun tidak kisah apabila ruang itu diisi dengan kehadiran penyanyi lain.

Ini kerana, selebriti berusia 27 tahun ini menganggap situasi tersebut sebagai satu persaingan sihat dalam industri hiburan sekali gus percaya genre itu berada di tempat tersendiri.

“Tapi, macam mana sekalipun, ia sebenarnya bergantung kepada rezeki. Malah, saya juga masih berusaha selagi mampu,” katanya kepada Media Hiburan.

Biarpun pelantun lagu Pelangi Senja ini bersikap positif, keadaan itu bagaimanapun tidak disenangi peminatnya.

“Bila membabitkan peminat, saya tak boleh kata apa sebab itu hak masing-masing. Tapi, sebenarnya itu lumrah dan satu perkembangan positif, saya sendiri pun pernah melaluinya.

“Apa yang penting, buat relaks saja dan bila orang beri perhatian, maknanya orang notis kehadiran kita,” katanya.

Dalam pada itu, Stacy kini kembali aktif di pentas hiburan selepas melahirkan anak pertama, lebih setahun lalu.

Sebagai buah tangan, isteri kepada vokalis Akim & Majistret, Akim Ahmad ini tampil dengan single terbaru, Cakap Ke Tangan dan buat pertama kalinya, Stacy membuat persembahan di pentas Anugerah Skrin 2017 (ASK2017), baru-baru ini.

“Inilah persembahan pertama saya selepas bersalin. memang saya agak penat, dah rasa nak pengsan juga," katanya sambil ketawa.

Bagaimanapun, Stacy mengakui ketika berlatih, dia tidak mengalami kepenatan tetapi agak gemuruh kerana sudah lama tidak menari.


Ditanya mengapa mengambil masa lama untuk kembali beraksi, Stacy mengakui pernah patah semangat apabila tidak mendapat semula suaranya untuk menyanyi.

Akibatnya, penyanyi lagu Not For Sale ini terpaksa menolak beberapa tawaran persembahan.

"Saya hilang semuanya, tak boleh menyanyi sampai perlu menjerit-jerit. Tapi, suara yang keluar ialah suara lelaki. Saya fikir saya tak boleh nyanyi kesan kerana baru lepas bersalin," katanya.

Enggan terus mengalah, Stacy mengambil pendekatan menjalani latihan di gimnasium bagi mengembalikan staminanya.

"Bila saya ikut latihan tu, rasa ada keajaibannya. Barulah saya sedar yang menyanyi pun perlu lakukan senaman untuk kekalkan stamina.

"Barulah suara saya kembali pulih kerana selama ini saya memang malas untuk melakukannya sebaliknya hanya praktis menyanyi," katanya.

Bukan itu sahaja, juara Akademi Fantasia 6 ini juga berjaya menurunkan berat badannya sehingga memperoleh berat ideal.

"Saya bukan saja dapat suara, tapi berat badan pun dah kembali semula macam sebelum mengandung," katanya yang sentiasa mendapat dorongan daripada suaminya.

Post a Comment

Previous Post Next Post