Sazrin Aizul percaya rezeki nyanyian


Selain bergelar model, pelakon dan penyanyi, Sazrin juga tidak mahu ketinggalan untuk menempatkan diri sebagai pengacara jika diberi peluang.

Langkah dihayun oleh sosok tinggi lampai dan berotot kekar, Sazrin Aizul Zailani atau nama komersialnya, Sazrin Aizul di persada pentas peragaan tidak pernah terhenti.

Sazrin menjadikan lakonan aktor terkenal, Will Smith dan Sidi Oraza sebagai rujukan untuk menjadi pelakon yang bermutu.
Dengan berbekalkan wajah tampan, tidak hairan anak jati Kuala Lumpur itu menjadi dambaan klien label mewah antarabangsa seperti Gucci, Canali, Dolce & Gabanna, Vertu, Quiksilver, Adidas dan Levi’s yang mendapatkan khidmatnya sejak tahun 2005.

Begitupun, bakat semula jadi Sazrin, 32, yang dilahirkan pada 7 Februari itu tidak tertumpah sebagai peragawan sahaja. Dia terus melebarkan sayap dengan memancing tuah sebagai penghias skrin televisyen tempatan sebagai pelakon bermula tahun 2014.

Drama pertama berjudul Epilog Cinta Khirana dibintanginya garapan Azmi Hatta di bawah terbitan Zeel Production Sdn. Bhd. bersama pelakon hebat seperti Nazim Othman, Tasha Shila, Aliff Aziz dan Raja Ema bersiaran di slot Samarinda di stesen TV3.

Bercita-cita tinggi dan berkeinginan untuk melampiaskan bakat seni, Sazrin yang merupakan bekas graduan Perakaunan dari Kolej Poly-tech Mara itu tekad membulat hati bagi bergelar penyanyi sekali gus berkongsi vokal indahnya buat halwa telinga khalayak.


Nyanyian

Menyertai SukaSucre Creatives (SSC) di bawah kendalian Datuk Fazley Yaakob pada tahun 2012, dia kini muncul dengan produk pertama di bawah syarikat pengurusan bakat tersebut yang berjudul, Saat Dan Ketika. Single tersebut bergenre balada pop hasil ciptaan kolaborasi penuh Sirkhan dan Karnaen.

Menurut Sazrin yang semakin dikenali usai penyiaran drama rantaian Miss Kapten Cikgu Waiz, proses rakaman single yang dilakukan di Studio Dapour Rekaman di Taman Tun Dr. Ismail, Petaling Jaya pada 21 Julai lalu berjalan lancar tanpa berdepan kesulitan.

“Alhamdulillah, proses rakaman Saat Dan Ketika berlangsung dengan jayanya beberapa bulan lalu itu. Menariknya, ia hanya mengambil tempoh dua hari termasuk merakam dan penambahbaikan terhadap lagu itu agar menjadi karya berkualiti, sekali gus menepati cita rasa pendengar.

“Single ini juga memperlihatkan perbezaan mutu suara saya kerana sudah menanam impian dalam diri untuk mengetengahkan vokal yang dimiliki kepada peminat di luar sana,” jelasnya yang telah menjalani penggambaran muzik video Saat Dan Ketika sejak Oktober lepas.

Saat Dan Ketika mengikut pemahaman si pelantunnya, merupakan sebuah naskhah berkisar tentang seorang lelaki yang menempuh pelbagai rintangan sebelum tercapai hasrat bagi mendirikan rumah tangga bersama wanita pilihan hati.

“Apabila sudah berkahwin, si lelaki berasa wanita dikahwininya adalah satu tanggungjawab cukup bermakna buat empunya diri. Saat Dan Ketika mengangkat tinggi momen selepas mereka berkahwin,” terang Sazrin yang selesa membahasakan diri sebagai Rin.

Cerita Sazrin lagi, dia pernah berputus asa untuk meneruskan minat dalam bidang nyanyian kerana banyak kali gagal dalam cubaan untuk menempatkan diri sebagai penyanyi.

“Saya pernah mencuba bermacam-macam program realiti popular. Nama saya digugurkan untuk menyertai satu program tanpa sebab yang munasabah. Hal itu membuatkan saya sudah malas untuk menyanyi.

“Namun, kini saya percaya dengan rezeki dan bakat dalam bidang nyanyian. Walaupun usia semakin mencemburui, saya tetap akan membina nama perlahan-lahan,” tutup Sazrin.

Post a Comment

Previous Post Next Post