Raf Yaakob, Mawar Rashid langsung pernikahan petang ini


Penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob mengesahkan petang ini akan berlangsungnya majlis pernikahan di antara adiknya, Raden Ahmad Faizal Yaakob (Raf) dengan pelakon Mawar Rashid atau nama sebenarnya Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid.

Majlis akan diadakan di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur pada jam 2.30 petang ini.

"Sebagai abang long dalam keluarga selepas bapa kami meninggal dunia, saya teruja untuk menerima adik baru dalam keluarga. Saya berasakan pernikahan petang ini akan memberikan seribu rahmat baru dalam keluarga kami dan keluarga Mawar.

"Kami menerima dengan tangan terbuka Mawar dan seluruh keluarganya bersama keluarga kami, Fazley Yaakob," ujarnya.

Fazley berkata, beliau hanya mengumumkan mengenai tarikh pernikahan ini kepada rakan-rakan media kira-kira 48 jam sebelum majlis berlangsung.

"Kami tidak umumkan lebih awal bukan kerana apa, sekadar untuk memastikan majlis yang halal ini berjalan dengan lancar. Selepas segalanya selesai barulah saya umumkan," jelasnya.

Sementara itu, Raf juga telah memuat naik status di laman sosial, Facebook buat ibunya.

“Ibu sayang...Maafkan Zal andai ada terkasar bahasa dan perbuatan. Halalkan makan minum Zal selama ini. Syurga Zal di bawah tapak kaki Ibu selamanya. Zal pohon doa restu ibu bernikah dengan Mawar. Doakan semuanya berjalan dengan lancar. Amin. Sayang Ibu (and bapak) dunia akhirat,” tulisnya.

Raf, 32, menghantar rombongan merisik yang diwakili oleh abangnya Fazley, kakak iparnya Azrene serta ibunya, Datin Umi Kalsom pada 7 Mei lalu.

Selepas itu, Raf dan Mawar mengikat tali pertunangan pada 7 Julai lalu dalam sebuah majlis tertutup di Roof Garden @ Sime Darby Convention Centre, Bukit Kiara.

Post a Comment

Previous Post Next Post