Natasya tidak pernah menyembunyikan perkahwinannya.
Pelakon Natasya Mahyan terkejut apabila timbul gosip yang mendakwa dia menyembunyikan statusnya yang sudah berkahwin.
Natasya atau nama sebenarnya Nur Natasya Nabila Mahyan, 25, berkata dia tidak pernah merahsiakan perkahwinannya, malah ada berkongsi gambar pernikahan di laman sosial.
"Terkejut bila ada timbul gosip mengatakan saya sorok status sudah berkahwin. Memang saya mengaku dah ada suami.
"Tapi tak pernah pula merahsiakan hal itu. Dekat laman sosial saya banyak berkongsi foto majlis nikah, resepsi dan berbulan madu.
"Jadi, mana pula datang isu saya sorok suami? Rasa kelakar pula," kata Natasya ketika dihubungi mStar Online.
Natasya dan suami berkahwin pada Julai lalu selepas empat tahun menjalinkan hubungan.
Natasya diminta mengulas tentang satu artikel gosip di sebuah portal pada Ahad.
Menerusi laporan tersebut, dia dikatakan menyembunyikan statusnya sebagai isteri kerana tidak mahu menjejaskan tawaran berlakon yang sedang kencang.
Pelakon Suamiku Paling Sweet ini tidak menyangka akan timbul isu seperti itu memandangkan dia berasa dirinya masih belum dikenali.
Bagaimanapun dia tidak menolak kemungkinan isu ini timbul disebabkan dia tidak membuat pengumuman secara terbuka, membuatkan ada pihak beranggapan dia merahsiakan perkahwinan.
"Saya tak sangka ada orang nak ambil tahu dan boleh bercakap tentang saya. Sedangkan saya sendiri tak rasa diri popular.
"Mungkin sebab tak ada buat pengumuman apa-apa orang ingat saya sorok kahwin. Tapi tak apa, bila saya dah kenyataan ini tiada lagi salah faham," ujarnya.
Natasya dan suami, Muhammad Syazwan, 29, mengikat tali pertunangan pada Oktober 2016 dan berkahwin pada 28 Julai lalu.
Pasangan ini juga baru sahaja pulang dari berbulan madu di Korea selama lima hari pada Khamis lalu.