Nastia Terkejut maklum balas penonton


Enam tahun meniti kembara seni, Nastia sering disalah anggap sebagai kumpulan berasal dari Indonesia.

Dianggotai empat anak muda, namun mereka sedikit pun tidak kesal dengan perkara itu.

Mula ditubuhkan sejak 2011, kumpulan yang dibentuk oleh Leo Azman sebagai vokalis, Rudy Iskandar (gitar), Zack Zainal (piano) dan Adzim Shafi (bass) sudah terbiasa dengan tanggapan sedemikian.

Mereka tidak menafikan, alunan serta genre lagu yang mereka nyanyikan sememangnya mempunyai sedikit persamaan dengan lagu dari negara jiran.

Namun, mereka berharap dapat memperoleh tapak kukuh untuk lebih dikenali.

“Kami sudah biasa disalah anggap sebagai kumpulan dari Indonesia. Kami tidak berkecil hati, malah situasi itu membuatkan kami ingin bekerja lebih keras untuk meletakkan Nastia sebaris dengan kumpulan sedia ada.

“Kami melalui banyak kepahitan sepanjang bergelar penyanyi. Tidak mungkinlah isu sekecil ini pun akan mematahkan semangat juang dalam industri muzik,” kata Rudy.

Muncul dengan lagu Rapuh, mereka tidak menyangka karya itu membawa impak besar buat Nastia. Ketika menyertai jelajah promosi di beberapa lokasi, Leo mengakui terkejut dengan maklum balas penonton.

Kata Leo, ketika menghalakan mikrofon ke arah penonton, semua sama-sama menya­nyikan lagu itu. Respons positif itu membuatkan mereka lega kerana lagu itu berjaya mendapat tempat dalam kalangan peminat muzik tanah air.

Walaupun lagu lebih popular dari kumpulan itu sendiri, tidak ada rasa kecewa.


Bagi Nastia, penerimaan Rapuh cukup baik dan satu penanda aras baru untuk menghasil­kan lebih banyak karya bermutu pada masa akan datang.

“Apabila lagu itu diterima baik pun sudah membuatkan kami lega dan gembira. Itu adalah satu petanda untuk kami terus mengorak langkah dan menghasilkan lagu yang lebih berkualiti.

“Saya tidak sangka, penonton tahu dan boleh menyanyikan lagu itu. Memang ramai yang tidak tahu penyanyi lagu Rapuh adalah Nastia. Bagus juga ada jelajah seperti itu. Ia membuka ruang untuk kami memperkenalkan Nastia kepada umum,” kata Leo.

Bina tapak kukuh

Bernaung di bawah label Faithful Music milik penyanyi Faizal Tahir, mereka optimis penyanyi lagu Mahakarya Cinta itu dapat membantu mereka membina tapak kukuh di arena seni suara.

Kata Leo, perasaan takut berdepan dengan penyanyi terkenal itu memang ada. Mereka turut tertanya-tanya corak yang akan Faizal lakar pada kanvas kerjaya mereka.

“Mula-mula, kami bimbang kerana dari segi vokal dan penghasilan lagu, kami masih setahun jagung. Tetapi, pada pertemuan pertama, banyak ilmu yang dikongsikannya.

“Malah, dia juga bertanya genre lagu yang ingin kami bawakan serta penghasilan lirik untuk lagu Rapuh tanpa meminta kami me­ngikut acuannya. Dia biarkan kami membuat keputusan sendiri untuk mewarnakan karier.

“Faizal memang banyak membantu untuk memperhalusi suntikan muzik dan lirik. Dia juga memberikan pendapat dalam setiap perkara yang kami ingin lakukan,” katanya.

Suatu ketika dulu, pernah ada suara-suara nakal yang menyuruh mereka melupakan impian bergelar penyanyi.

Namun, berbekalkan dorongan keluarga, Nastia tetap meneruskan kembara seni mereka.

Pahit getir yang mereka lalui membuatkan mereka merendah diri dan tidak menganggap sebagai senior walaupun dengan kehadiran ramai penyanyi baru.

“Tidak ada apa-apa yang perlu dibanggakan. Enam tahun bukanlah satu tempoh yang lama. Kalau pada manusia, enam tahun itu masih kanak-kanak yang belum akil baligh,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post