Liza Abdullah nikah lagi?


Satu-satunya pelakon yang menginjak usia 50 tetapi masih panas dan hangat dengan gosip nikah dan kahwin ialah dramatis hebat tetapi becok, Liza Abdullah.

Sebenarnya gosip Liza Abdullah mahu bernikah lagi bukan baru. Sebelum ini pun Cik Pang pernah dengar dia dilamar jurukamera sebaik berpisah dengan bekas suami.

Waktu itu heboh orang bercerita kononnya Liza bercerai kerana mahu bersuamikan pucuk muda.

Tapi itu cerita lama sebab sampai sekarang tak dengar apa-apa cerita dan perkembangan gosip berkenaan. Ternyata itu semua tidak benar.

Tapi dua tiga minggu kebelakangan ini, cerita kononnya Liza bernikah bertiup kencang. Namun, versi kali ini berbeza apabila dia dikatakan bukan mahu tetapi sudah bernikah di Thailand.

Disebabkan berita itu tersebar luas, apa lagi, Liza menjadi perhatian wartawan ketika menghadiri Anugerah Skrin 2017 minggu lalu.

Ibarat ketika itu lalulah Neelofa mahupun Fazura, memang teman media tidak layan sebaliknya Liza paling menjadi tumpuan.

Liza seperti biasa memang ramah, menjelaskan kedudukan sebenar dakwaan mengatakan dia bernikah di negara jiran itu langsung tidak benar.

Liza memberitahu teman media, yang dia hairan dijadikan mangsa gosip sedemikian. Dalam usia mencecah 50, dirasakan kurang manis.

Cik Pang agaklah gosip Liza bernikah ini timbul mungkin sebab orang salah faham dengan dirinya.

Hanya kerana sikap ramahnya dengan semua orang tidak kira lelaki atau perempuan, membuat dia mudah dihinggap gosip jodoh.

Memang kalau orang tengok kemesraan Liza dengan pelakon jauh lebih muda dengannya, orang akan salah faham sedangkan sebelum ini pelakon itu selalu menegaskan dia menganggap pelakon lelaki yang kacak, muda dan mampu menggetarkan jiwa itu sebagai adik mahupun anak-anaknya. Tidak lebih daripada itu.















Post a Comment

Previous Post Next Post