Gandingan mantap Aliff Syukri dan Nur Sajat dalam lagu berjudul Abang Tak Tegur.
Pengasas kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri mempersoalkan mengenai lagu terbaharunya duet bersama Nur Sajat berjudul Abang Nak Tegur yang lebih banyak mendapat tanda tidak suka (dislike) berbanding tanda suka (like) sejak ia dimuat naik di laman Youtube.
Aliff menerusi akaun Instagramnya menulis posting bertanyakan pandangan pengikutnya mengapa video lirik lagu tersebut tidak disukai pendengar.
"Abg nak tegur?? kenapa org tekan button unlike kat youtube lirik video saya??," tulis Aliff.
Video lirik yang di muat naik di Youtube pada 23 November lalu itu telah mendapat hampir 700,000 tontonan dan kini trending di laman tersebut.
Namun, lebih 60,000 penonton menekan tanda tidak menyukai (dislike) lagu tersebut berbanding 7,000 yang menyukainya.
Lagu ciptaan Edry Abdul Halim itu menampilkan Aliff berduet bersama Sajat dan setakat ini telah menerima hampir 9,000 komen.
Aliff Syukri mempersoalkan mengenai lagu terbaharunya di laman Instagram, baru-baru ini.
Menerusi akaun Instagram @aliffsyukriterlajaklaris, rata-rata pengikut meninggalkan komen tidak sukakan lagu tersebut kerana gandingannya bersama Sajat.
Malah, ada yang mempertikaikan kemampuan Sajat sebagai penyanyi dan berpandangan Aliff mampu menyanyikan lagu tersebut tanpa perlu berduet dengannya.
"Mungkin ada Sajat sekali. Nampak tak sesuai di situ.. hahahah," tulis yusri_nickelback2.
"Ramai yang unlike sebab ada Sajat. Datuk suara dah okey, sedap tapi tiba-tiba masuk suara Sajat pula, tak sesuai bunyinya," komen therealrynaa.
"Pada pendapat saya, bukan orang tak suka Datuk tapi mungkin sebab ada nama Sajat tu yang unlike," kata yg_fly pula.
Meskipun menerima kritikan pendengar, lagu tersebut masih lagi mendapat pujian pengikut yang merasakan gandingan Aliff dan Sajat telah membuatkan lagu tersebut mantap dan berjaya.
"Lagu okey, ada unsur humour dan nasihat. Suara pun bagus," tulis nurulsuhaimj.
"Suara Datuk di studio sedap jugalah!," komen elvenofficial_.