Khai Bahar bawa ibu bapa tunai umrah


Pada 31 Oktober lalu, penyanyi kegilaan ramai ketika ini, Khai Bahar, membawa kedua ibu bapanya mengerjakan umrah.

Ujar Khai atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin, 23, terharu kerana hajatnya yang terpendam sekian lama ini berjaya ditunaikan.

"Sebenarnya memang dah lama hajat nak bawa kedua ibu bapa saya ke Makkah. Memang dah rancang pun tahun depan tapi dapat pula dipercepatkan. Alhamdulillah, lagi cepat lagi bagus. ALLAH dah atur begitu. Syukur.

"Ketika di Makkah, berdua dengan ibu dan bapa pula tu, Khai tak boleh nak gambarkan perasaan itu. Sebak, teruja, semua ada. Hanya mereka yang pernah pergi dan mengalami akan faham apa yang saya rasai," katanya ringkas.

Seperti mereka yang lain juga, Khai turut berdoa ketika berada di Makkah.

"Tak boleh la beritahu apa doa saya. Tapi yang penting saya ada doakan agar semua orang dapat ke sana suatu hari nanti," jawabnya jujur.



Sekembalinya pada umrah, Khai turut mendapat 'hadiah' yang disifatkan cukup istimewa iaitu terpilih ke Anugerah Juara lagu 32 (AJL) melalui lagu Bayang.

"Ini pertama kali saya ke AJL. Perasaan berdebar itu memang ada. Jadi itulah yang perlu saya atasi dahulu kerana tak pernah lagi bertanding di pentas AJL ini. Apa yang perlu saya buat adalah atasi rasa gugup dan lebih yakin apabila di pentas.

"Selain itu, saya juga dalam perancangan untuk memasuki kelas vokal bagi memantapkan lagi vokal saya. Insya-ALLAH," jelasnya.

Bagi persediaan lagi pula sama ada dari segi konsep persembahan semuanya diserahkan kepada syarikat pengurusannya NAR Records.

Dalam perkembangan lain, selain ligat membuat persediaan menghadapi AJL32, Khai berkata, dia juga sibuk mempromosikan single terbarunya, Luluh.

Sehingga kini, single ketiganya itu telah ditonton lebih 11 juta kali dalam masa empat bulan di muat naik di YouTube.

Post a Comment

Previous Post Next Post