Impian Nurul Wahab tercapai


Hasrat penyanyi Nurul Wahab memasuki pasaran muzik Eropah akhirnya tercapai apabila bakal melancarkan album bahasa Perancis berjudul Humaine dalam masa terdekat.

Album itu memuatkan tujuh lagu sentuhan komposer Perancis Kirsten Harma dan disiapkan Jun lalu selepas lebih setahun pembikinan.

Walaupun boleh bertutur dalam bahasa Perancis, penyanyi Kerana Terluka ini mengambil inisiatif mempertingkatkan penguasaan dengan menghadiri kelas.

“Saya pernah mempelajari bahasa Perancis namun hanya separuh jalan.

“Selepas mendirikan rumah tangga, saya perlu menambah baik bahasa Perancis kerana ibu dan bapa mentua tidak boleh bertutur bahasa Inggeris,” katanya.

Pada 2012, Nurul berkahwin dengan lelaki Perancis, Eric Daniel Depp.

Menurut Nurul, dia sudah lama berhasrat menghasilkan album Perancis namun kurang keyakinan diri.


“Dua tahun lalu, saya mengeluarkan single Dan Kini yang turut diterjemahkan ke bahasa Inggeris dan Perancis.

“Suami kemudian memperdengarkan lagu itu kepada kenalannya, Kirsten yang kemudian menawarkan untuk menghasilkan album.

“Apabila pintu rezeki sudah terbuka, saya terus terima dan sahut cabaran,” katanya.

Walaupun sudah 22 tahun mencipta nama sebagai penyanyi, Nurul menganggap dirinya masih ‘hijau’ apabila menembusi pasaran Perancis.

“Di Malaysia, orang sudah kenal saya tetapi di sana saya perlu berusaha keras untuk mempromosikan diri.

“Saya menjadikan Anggun dan Datuk Shake yang diterima baik di sana sebagai inspirasi,” katanya.

Menyifatkan dirinya bertuah kerana mendapat sokongan padu suami tercinta, Nurul bersedia untuk berulang-alik ke Paris.

“Buat masa ini, saya belum ada perancangan untuk berpindah ke sana. Lagipun, anak sudah bersekolah. Suami pula suka menetap di sini,” katanya.

Mengenai langkah seterusnya, Nurul berkata dia akan ke Perancis untuk merakam video muzik empat lagu dan penggambaran kulit album pada bulan ini.

Post a Comment

Previous Post Next Post