Penyanyi Singapura, Ferhad menjadi peserta pertama tersingkir pada konsert minggu kedua program Gegar Vaganza musim keempat yang berlangsung di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, di sini, Ahad.
Pada konsert berkenaan Ferhad menyanyikan lagu nyanyian asal Cakra Khan berjudul Harus Terpisah mendapat markah terendah daripada juri profesional.
Gegar Vaganza musim keempat menampilkan Datuk Ramli MS dan Hetty Koes Endang sebagai juri tetap manakala pelakon veteran, Datuk Jalaludin Hasan tampil sebagai juri jemputan.
Kesemua peserta diadili 100 peratus menerusi pemarkahan daripada barisan juri.
“Ini bukan lagu yang mudah untuk dibawa. Tapi yang penting anda sudah berusaha menyanyikan lagu ini dengan cara anda tersendiri," ujar Hetty.
Sementara itu, artis yang mara ke minggu hadapan ialah Aqasha, Firman, Hazami, Lan Kristal serta Tia Jinbara.
Sementara itu peserta wanita ialah Aishah, Elyana, Haida, Liza Hanim, Raja Azura dan Syura.
Gegar Vaganza 4 dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Jihan Muse.
Ia turut disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria (104) dan Ria HD (123).
Juara Gegar Vaganza musim keempat bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 berserta trofi manakala RM50,000 untuk naib juara.
Tempat ketiga, keempat, kelima dan keenam pula masing-masing bakal membawa pulang wang tunai sebanyak RM30,000, RM20,000, RM15,000 dan RM10,000 beserta trofi.
GV4 disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123).