Fattah Amin & Nur Fazura dikatakan melangsungkan pernikahan secara tertutup


Selepas mengaku bertunang pada 13 November dan menafikan bernikah secara rahsia keesokan hari, malam ini pasangan Nur Fazura, 34, dan Fattah Amin, 27, dikatakan melangsungkan pernikahan secara tertutup di hotel terkemuka di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Tinjauan beberapa wakil media termasuk Harian Metro ke lokasi untuk mendapatkan pengesahan mengenai perkara itu menyaksikan beberapa individu dipercayai pengawal keselamatan disewa khas berlegar di sekitar ruang lobi, pintu dan lif menuju lokasi rahsia di tingkat 28 hotel itu.

Turut kelihatan, individu dipercayai wakil pereka fesyen membawa busana pengantin berwarna hijau firus di dalam bungkusan plastik lutsinar sambil diiringi beberapa lelaki berpakaian serba hitam.

"Ada 'Malay wedding' di tingkat atas," kata penyambut tetamu hotel secara ringkas saat ditanya mengenai situasi itu.

Sekitar 8 malam, beberapa individu dipercayai ahli keluarga kedua pasangan turut kelihatan memakai busana tradisional sedondon berwarna hijau firus (turquoise) dan ungu mula memasuki ruang hotel.


Lebih menguatkan dakwaan majlis pernikahan berlangsung pada malam ini adalah kemunculan pengurus Fazura, Iman Tang yang kelihatan tenang, 6.30 petang tadi.

Itu antara hasil pemerhatian wakil media sejak tengah hari tadi bagi mengikuti perkembangan majlis pernikahan pelakon Fazura dan Fattah yang dipercayai berlangsung sekitar 9 malam.

Usaha pihak media untuk mendapatkan maklumat lebih terperinci daripada beberapa individu yang hadir di lokasi sama tidak mendapat maklumbalas yang baik.

Sebelum ini, sejurus pulang daripada melakukan umrah, Fattah dan Fazura pada sidang media khas yang berlangsung pada 23 November lalu mengumumkan bakal bernikah secara tertutup dalam masa terdekat pada tarikh yang tidak dinyatakan.

Post a Comment

Previous Post Next Post