BPR terus menyengat selepas 30 tahun


Persembahan kumpulan BPR dan Ramli Sarip sempena ulang tahun ke-30 tahun BPR di Hard Rock Cafe, Melaka baru-baru ini memukau seramai 600 penonton.

Tanggal 28 Oktober lalu, pentas Hard Rock Cafe Melaka menjadi saksi betapa muzik yang berkualiti takkan lekang dek panas, tak lapuk dek hujan. Kerinduan peminat terhadap kumpulan Bumiputra Rockers (BPR) berbalas menerusi sebuah persembahan yang gamat dengan sorakan dan tepukan ramai.

Kehadiran lebih 600 penonton yang memenuhi lokasi seawal pukul 3 petang membuktikan kumpulan rock tahun 1980-an itu masih bertapak dalam hati peminat.

Lebih istimewa, persembahan pentas yang diadakan bersempena ulang tahun ke-30 penubuhan BPR itu menggabungkan semula anggota asal kumpulan tersebut yang terdiri daripada Joey sebagai vokalis, Awang (gitaris), Mali (keyboard), Yem Bai (bass) dan Enal (dram).

Dalam persembahan selama dua jam 30 minit itu, BPR mempersembahkan 17 buah lagu daripada empat album mereka iaitu Selamat Pagi Malaysia terbitan pada tahun 1987, Bisa (1988), Kelab Jiwa Luka (1990) dan Silaturrahim (1991) serta sebuah lagu berjudul Smoke On The Water nyanyian asal kumpulan Deep Purple.

Pembuka tirai Joey atau nama sebenarnya, Johari Mat Rozekhi memanaskan persembahan dengan lagu, Barah Berbisa yang dipetik daripada album Bisa.

Mendapat tepukan gemuruh daripada penonton yang berdiri memenuhi ruang di depan pentas, BPR kemudian mendendangkan lagu kedua, 1511 yang diberi nafas yang lebih segar bersesuaian dengan cita rasa pendengar masa kini diikuti lagu, Maghrib.

Seakan-akan memahami kehendak peminat setia mereka, Joey santai berkomunikasi dengan peminat menyampaikan lagu hit, Aku Hanya Serangga.

Penonton yang teruja turut bersama-sama menyanyikan lagu tersebut sebelum disusuli lagu, Sudah Sampai Di Sini yang didendangkan dalam versi akustik dan Silaturahim.

BPR turut membawa penonton yang rata-rata terdiri dalam golongan belia mengimbau pengalaman ketika kumpulan rock tersebut mula bertapak di persada seni tanah air kira-kira 30 tahun dahulu.

Kecam

“Saya bersyukur kerana muzik rock kini telah diterima umum walaupun suatu ketika dahulu masyarakat mengecam peminat mahupun pemuzik aliran rock yang dikaitkan dengan elemen negatif,” kata Joey.

Kemunculan istimewa Papa Rock, Datuk Ramli Sarip yang merupakan individu terpenting dalam penubuhan BPR kira-kira tiga dekad lalu telah menghangatkan lagi pentas pada petang tersebut menerusi paduan vokal dalam lagu Kamelia.

“Ramli merupakan individu yang bertanggungjawab membawa BPR ke persada seni hiburan tanah air malah nama BPR sendiri diilhamkan oleh beliau,” cerita Joey.

BPR kemudian meneruskan persembahan dengan dendangan lagu-lagu hit seperti Harum Subur Di Hati dan Bersyukurlah.

Untaian lagu Selamat Pagi Malaysia, Dari Sinar Mata dan Pudar Seri Primadona kembali mengembalikan energi peminat untuk ikut menyanyi diikuti melodi Air Mata Jernih, Dajal dan Gua Musang.

Demi meredakan situasi yang agak tegang dengan lagu-lagu yang berentak laju, BPR kemudiannya mendendangkan lagu Seribu Tahun Takkan Mungkin serta Yakjud dan Makjud sebagai penutup persembahan.

Rata-rata peminat dilihat tidak berganjak menghayati lontaran vokal bertenaga daripada Joey meskipun terpaksa berdiri lama.

Seperti yang dinyatakan oleh BPR sebelum ini, bersatunya kumpulan tersebut bukan hanya untuk mencari populariti semata-mata, tetapi sumber pendapatan untuk menyara keluarga dan mencari dana membantu anggota BPR yang sakit.

Sementara itu, Pengurus Besar Hard Rock Cafe Melaka, Anderson K. Selva berkata, semua kutipan tiket berjumlah RM29,000 diserahkan sepenuhnya kepada kumpulan tersebut sebagai dana untuk diagihkan kepada anggota kumpulan bagi menampung kos rawatan perubatan.

Anggota kumpulan BPR yang dimaksudkan ialah Awang atau nama sebenarnya, Norzaini Mohd. yang juga komposer dan penerbit lagu. Awang disahkan menghidap penyakit jantung.

“Ini sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) Hard Rock Cafe dalam membantu individu kurang bernasib terutama penggiat muzik,” kata Anderson.

Post a Comment

Previous Post Next Post