Ketawa - Selepas merakamkan parodi Tak Tun Tuang, Andi Bernadee sebenarnya mentertawakan dirinya dan berasa kelakar kerana terpengaruh dengan kawan-kawan untuk menyanyikan semula lagu tersebut.
Niat penyanyi baharu, Andi Bernadee membuat parodi dengan lagu Tak Tun Tuang nyanyian asal penyanyi Indonesia, Upiak Isil hanyalah sekadar untuk berseronok dan berasa ia sesuatu yang kelakar untuk dicuba.
Tidak terlintas langsung bahawa dalam masa 24 jam, video yang dimuat naik di laman Instagramnya mendapat ratusan komen dan puluhan ribu tontonan sewaktu dia bangun daripada tidur pagi sehari selepas merakam lagu Tak Tun Tuang tersebut.
Anak kelahiran Sabah itu pada mulanya tergamam kerana sepanjang hampir dua tahun bergelar penyanyi, ini baru kali pertama nyanyiannya dalam laman sosial mendapat perhatian meluas seperti itu.
Dia yang merupakan antara bakat dicungkil daripada aplikasi Smule berkata, jika menyanyikan semula lagu lain sebelum ini, respons yang diterima hanya ‘suam-suam kuku’ sahaja apatah lagi hendak mendapat komen yang banyak daripada peminat.
“Terus terang dikatakan, ketika menyanyikan lagu Tak Tun Tuang itu saya tidak berniat untuk menjadikan ia tular. Saya buat kerana ramai kawan-kawan menghantar lagu itu menerusi WhatsApp dan berasa seperti menarik untuk diparodikan.
“Saya anggap ini sebagai rezeki kerana ia berlaku secara kebetulan. Percayalah, jika kita merancang sesuatu agar ia ditularkan pasti tidak akan berlaku kerana kebanyakan isu tular bermula daripada insiden tidak disengajakan,” katanya ketika hadir di satu sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini.
Tumpang
Dalam masa hampir tiga minggu, video Tak Tun Tuang pemilik nama sebenar, Andi Azrul Andi Mapangile itu sudah ditonton sebanyak sejuta kali dan menjadi pilihan keenam di laman sosial YouTube.
Namun begitu, masih ramai yang tidak tahu bahawa dia sebenarnya sudah mempunyai sebuah single bertajuk Tiada Lagi Maaf yang dilancarkan tiga bulan lalu.
Apabila ditanya tidakkah berasa kecewa apabila namanya menjadi popular kerana lagu parodi berbanding single sendiri, Andi berkata, dia mahu melihat apa yang berlaku dari sudut positif.
Mengakui penerimaan Tiada Lagi Maaf masih agak perlahan dalam kalangan peminat tetapi lelaki berusia 26 tahun itu percaya apabila orang sudah mengenali nama Andi, pasti mereka akan mencari maklumat tentangnya dan sekali gus mengetahui dia sudah memiliki lagu sendiri.
“Ya, saya memang menumpang populariti lagu Tak Tun Tuang dan tidak kisah jika ia merupakan satu cara untuk peminat di luar sana mengenali dan tahu kewujudan saya dalam industri.
“Jangan risau, tidak selamanya orang akan ingat saya dan Tak Tun Tuang. Isu-isu tular akan sentiasa berganti, jadi selagi ada ruang untuk mempromosi nama Andi sementara lagu ini masih hangat, saya cuba lakukannya,” katanya penuh yakin.
Sempat diusik adakah video kali ini tular kerana ketampanan wajahnya, Andi tertawa. Katanya, dia tidak pernah terfikir video nyanyiannya menjadi tular kerana faktor rupa paras.
“Saya pernah tular semasa zaman Smule tapi ia tidak sehebat sekarang. Saya rasa bukan kerana rupa paras semata-mata, cuma bertuah kerana percubaan pada kali ini mengena,” tuturnya lagi.
Rezeki
Pada masa sama, Andi turut memberitahu bahawa sejak nyanyian Tak Tun Tuang tular, rezekinya juga semakin melimpah ruah dan perlahan-lahan jadual seninya yang dahulu kosong kini dipenuhi undangan.
Kata anak kedua daripada empat beradik itu, sebelum ini amat sukar untuk mendapat undangan atau tawaran menyanyi walaupun sudah memiliki sebuah single kerana jenama Andi itu masih belum cukup kuat.
Secara jujurnya, Andi tidak ralat dan memahami bahawa untuk dipanggil membuat nyanyian, namanya perlu dikenali oleh peminat dan ia situasi yang normal bagi artis baharu sepertinya.
Tambahnya lagi, jumlah pengikutnya dalam laman sosial juga naik mendadak apabila ia meningkat daripada 11 ribu menjadi 30 ribu dalam masa hampir sebulan namanya tular.
“Saya bersyukur dengan tuah tular Tak Tun Tuang kerana peminat sudah tahu siapa Andi dan menunjukkan minat dengan kerjaya seni saya. Jika ada peminat yang terserempak dengan saya di luar, mereka mula mengecam saya sebagai ‘Abang Tak Tun Tuang’ dan meminta untuk bergambar.
“Jadual seni saya juga sudah semakin padat sehingga penghujung tahun. Saya boleh nampak akhirnya semua usaha selama ini mula berhasil.
“Jadi, saya berterima kasih kepada lagu Tak Tuan Tuang kerana menularkan nama saya,” katanya sambil tertawa sebelum menutup perbualan.