Penyampai radio Suria FM Zulin Aziz menjadi mangsa individu tidak bertanggung jawab apabila beberapa keping gambar miliknya disunting menjadi foto lucah.
Zulin atau Farah Azleenda Abd Aziz 28, berkata, dia terkejut dengan perkara berkenaan dan tidak tahu tujuan sebenar individu yang disifatkan tidak waras itu.
"Saya terkejut apabila ada akaun menghantar gambar-gambar lucah dengan menampal muka saya dalam foto itu.
"Saya tidak tahu siapa punya kerja kerana saya rasa tidak pernah kacau hidup orang pun. Tidak tahu pula ada yang dengki dengan saya," ujarnya.
Zulin berkata, individu itu menggunakan laman sosial Twitter palsu itu memuat naik beberapa keping gambar miliknya di laman sosial berkenaan dengan kapsyen lucah.
Dalam pada itu, Zulin berkata, ia merupakan kali pertama dia menerima gangguan lucah seperti itu sejak bergelar artis.
"Ini kali pertama saya kena gangguan lucah ini. Pada awalnya saya tidak perasan, namun bila beberapa keping dihantar, saya sedar ia adalah gambar yang memalukan.
"Dia juga turut menghantar video lucah di laman sosial yang sama," ujarnya.
Sementara itu, Zulin berkata, dia meminta peminat-peminat agar membuat laporan kepada pihak Twitter agar akaun palsu tersebut dipadamkan.
Terdahulu, selain Zulin, beberapa artis lain kebelakangan ini turut menjadi mangsa berkaitan imej lucah seperti Anding, Eyka Farhana dan Feeya Iskandar.