Penyanyi Zizi Kirana tidak kisah jika lagu barunya berjudul Boleh Jalan tidak dimainkan di stesen radio disebabkan liriknya yang terlalu lantang dan kasar hingga dikecam netizen.
Zizi atau nama sebenarnya Nurfazelah@Zizie Mad Tahil, 31, berkata, dia sudah bersedia dengan kemungkinan itu dari awal penghasilan lagu yang liriknya ditulis penyanyi rap W.A.R.I.S itu.
“Saya pun terkejut juga dengan lirik lagu yang begitu berani itu selepas W.A.R.I.S memberikan kepada saya. Namun, saya tidak bimbang kerana memang liriknya tepat dan saya sangat sukakannya.
“Jadi, saya sudah bersedia sekiranya ada stesen radio tidak mahu putarkan lagu berkenaan. Buat netizen yang mengecam liriknya pula, saya tidak kisah kerana paling penting adalah mesejnya,” katanya.
Antara kandungan liriknya ialah “Ada Dato DM dalam insta I. Okaylah. Hantar comment nak taja hidup I. Boleh blah. Motif? Ada keyboard warrior tak suka I. So kenapa tak unfollow insta I. Hari-hari cuba hantar komen boleh blah. DM Instagram nak ajak opps”.
Baru seminggu dilancarkan di YouTube, lagu berkenaan sudah mencecah jumlah tontonan lebih 230,000.
Terkejut dengan sambutan luar biasa itu, Zizi bersyukur dengan keputusannya mempertaruhkan lagu ciptaan DJ Fuzz itu.
“Saya bukan saja mencari hal dan tidak berniat mempertaruhkan lagu itu semata-mata untuk popular. Sebaliknya, saya mendapat permintaan daripada ramai peminat untuk menyanyi lagu rap selain mahu lagu yang lebih meninggalkan impak.
“Tidak sangka ia mendapat sambutan yang di luar jangkaan. Bagaimanapun, saya akur jika lagu itu tidak boleh dinyanyikan pada acara-acara yang kurang sesuai,” katanya.
Selepas seminggu dilancarkan, lagu Boleh Jalan mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang turut mengecam liriknya selain mempersoalkan keberanian Zizi tampil dengan lagu sebegitu.