Tujuh tahun menyepi, Daus Eli kini kembali


Setelah lebih tujuh tahun sepi tanpa sebarang lagu baru, kini bekas pelajar Akademi Fantasia musim ke-8, (AF8), Daus Eli atau nama sebenarnya, Muhd Shahrul Firdaus Eli, 29, hadir dengan single terbarunya, 1000 Rasa Cinta.

Menyifatkan keberanian kembali bersaing dalam industri seni atas galakan dan sokongan ramai pihak, Daus optimis mengharapkan single ketiga ini mendapat reaksi positif daripada pencinta seni suara tempatan.

Ditemui Media Hiburan sejurus selesai penggambaran program YouTube The Stage, penyanyi dari Sarawak itu mengakui teruja kerana sekali lagi memeriahkan dunia seni yang sekian lama ditinggalkan.

“Jujurnya, setelah sekian lama menyepi, rasanya inilah masa terbaik untuk melancarkan single ketiga ini. Sejak keluar dari AF8 tidak lama dulu, saya sudah ada single berjudul Kenapa dan lagu Akhir Waktu.

“Agak struggle juga nak tempatkan diri dalam industri. Mungkin sebab nasib tak berapa menyebelahi pada waktu itu, saya ambil keputusan fokus pada perniagaan dalam bidang farmasi di Bintulu, bersama isteri,” kongsi Daus.

Bagaimanapun, atas rasa kecintaan yang menebal dalam nyanyian, Daus tekad melancarkan 1000 Rasa Cinta.

Walaupun tidak mudah memancing pendengar muzik untuk mengikuti lagu-lagu nyanyiannya, Daus sedaya upaya cuba mempromosikannya kerana pada masa sama minatnya terhadap nyanyian memberi kekuatan untuk meneruskan kerjaya yang sudah dilalui lebih kurang 10 tahun lalu.

“Alhamdulillah, meski lagu ini sudah pun dirakamkan lebih tiga tahun lalu, namun hanya sekarang saya ada masa untuk beri komitmen terhadap lagu baru ini,’ katanya lagi.

1000 Rasa Cinta merupakan ciptaan sepenuhnya oleh Daus sementara dia turut mengambil khidmat Nono Honbil sebagai penulis lirik bersama untuk lagu berkenaan.

Kisah cinta

Mengulas lanjut mengenai 1000 Rasa Cinta, bintang realiti yang dilahirkan pada 25 Ogos 1988 ini menambah, single terbaru ini berkisar mengenai persoalan cinta.

“Sejak dulu, saya sudah sinonim menerusi lagu-lagu berentak pop atau jazz pop. Sama juga untuk lagu baru. Saya cuba kekalkan identiti sedia ada. Kalau nak diikutkan, cita rasa kebanyakan peminat muzik di negara ini cukup kuat dengan lagu-lagu cinta. Jadi, rasanya tidak salah saya angkat tema itu sebagai latar utama dalam lagu.

“Bagaimanapun, untuk single 1000 Rasa Cinta, perasaan tersebut tidak hanya terhad kepada kekasih semata-mata. Sebaliknya, ia boleh diekspresikan rasa kasih terhadap isteri, ibu bapa dan sebagainya,” jelas Daus yang turut memasang keinginan untuk merakamkan lagu berentak balada selepas ini.

“Sebagai seorang penyanyi, keinginan untuk menyanyikan lagu-lagu lain daripada zon selesa pastinya memberi suatu pengalaman baru yang mengujakan. Insya-ALLAH, jika diberi peluang saya tidak keberatan untuk mencuba,” akhiri Daus positif.

Post a Comment

Previous Post Next Post