Shahir Zawawi, Mona bukan teman wanita


Shahir Zawawi yang diketahui ramai menjalin hubungan dengan aktres jelita, Erra Fazira, tiba-tiba 'panas' apabila dikaitkan dengan gadis dikenali sebagai Mona Syamimi.

Semuanya bermula apabila foto Shahir bersama wanita yang dikatakan bertugas sebagai pramugari itu tersebar di laman sosial.

Tambah hangat, keterangan gambar 'sweet' (manis) yang dilampirkan bersama foto, seolah-olah menunjukkan mereka pasangan kekasih.

"Saya mahu jelaskan, dia adalah antara penyokong kerjaya artis Akademi Fantasia (AF). Saya seorang daripadanya, maka hubungan itu atas dasar peminat dan artis semata-mata.

"Saya tak ambil serius hal ini. Tapi orang yang membaca atau melihat mungkin akan salah tafsir dengan keterangan yang ditulisnya.

"Saya anggap keterangan gambar itu hanya luahan dia (Mona) kepada artis yang diminati. Jika diikutkan, ada peminat lain yang meletakkan kapsyen seumpama itu kepada artis pujaan," kata Shahir.

Shahir bagaimanapun enggan memanjangkan kontroversi itu kerana tidak mampu menghalang tindakan peminat.

"Kurang pasti apa motifnya menulis kapsyen itu. Mungkin dia berniat bergurau. Saya pula tak mampu nak kawal hal begini.

"Cuma biasanya orang cepat percaya dan menjatuhkan hukuman," katanya.

Mengenai penerimaan Erra, dia percaya wanita istimewa di hatinya itu tidak cepat melatah.

"Hati wanita mana yang mungkin tak terusik. Tapi saya percaya dengan pengalamannya di pentas seni, dia memahami permainan begini," katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post