Raja Ilya kaki auta


Antara pembohongan atau benar. Itulah topik panas yang sedang tular di laman sesawang mengenai aktres jelita, Raja Ilya.

Siapa sangka hatinya yang berbunga riang dan mahu berkongsi berita gembira dengan peminat disalah tafsir sehingga muncul kisah kurang enak dan lebih teruk ada yang melabelkan dia seorang kaki temberang demi meraih populariti dengan cara singkat.

Wanita kacukan Melayu, Arab dan Malayalam itu dikecam teruk kerana dikatakan sengaja mereka-reka cerita tentang tawaran yang diterima bagi membintangi sebuah filem adiwira terbitan Marvel Studios di Hollywood.

Berpeluang bertemu empat mata dengan wanita berusia 32 tahun itu, dia dengan spontan menunjukkan reaksi terkejut kerana dia tidak tahu akan hal yang sedang diperkata tentang dirinya.

“Secara jujurnya ini merupakan kali pertama saya mendengar tentang tuduhan menipu.

“Terpulanglah kepada mereka yang nak cakap saya berbohong atau sebaliknya.

“Hanya kerana saya belum cukup popular jadi apabila saya berkongsi cerita mengenai berita berkenaan orang tidak percaya dan anggap saya menipu.

“Sedikit pun saya tidak terkesan dengan tohmahan yang dilemparkan malah kini saya sedang mempersiapkan diri dari pelbagai aspek termasuklah mental dan fizikal untuk menjayakan tawaran tersebut,” jelasnya.

Kontroversi berhubung perkara itu timbul apabila sehingga saat ini pelakon Tuan Anas Mikael tidak mendedahkan tentang sebarang watak serta judul filem tersebut hingga membuatkan ramai tertanya-tanya akan kebenaran kewujudan naskhah terbabit.

Ketika diminta untuk berkongsi serba sedikit tentang projek itu, Raja Ilya enggan dan tetap mahu mengunci mulut daripada memberi sebarang kenyataan.

Demi tuntutan kontrak yang sudah ditandatangani dengan produksi berkenaan, dia terpaksa akur dan tidak mahu menjadi orang pertama yang ‘membocorkan’ hal tersebut.

“Mengenai judul filem, lokasi penggambaran serta pelakon lain, saya sendiri tidak tahu-menahu dan mereka tak beritahu lagi.

“Biarlah pihak produksi yang umumkan nanti sebab saya hanya dapat skrip untuk babak saya sahaja,” katanya yang akan terbang ke Los Angeles, Amerika Syarikat awal tahun hadapan untuk berlakon dalam filem tersebut.

Derita dua tahun

Raja Ilya atau Raja Ramilah Begum Raja Mohammad turut berkongsi tentang keadaan kesihatannya yang terkini selepas menjalani pembedahan baru-baru ini.

Katanya, pembedahan itu juga sebagai salah satu langkah persediaan untuk memastikan dirinya benar-benar sihat di lokasi penggambaran sepanjang berada di luar negara dengan keadaan cuaca yang tidak menentu.

“Saya dinasihatkan oleh doktor yang merawat untuk membuang ketulan di bahagian perut yang sudah dua tahun saya hidapi.

“Demi filem tersebut saya sanggup lakukan apa sahaja asalkan keadaan tubuh badan dan kesihatan tidak terganggu ketika berada di Los Angeles nanti,” kongsinya yang turut mengakui menjalani diet yang ketat sejak dua bulan lalu.

Malah Raja Ilya menegaskan, dia tidak akan melakukan kerja gila menjalani pembedahan plastik seperti kontroversi yang pernah membadainya dahulu hanya untuk kelihatan lebih cantik.

“Saya hanya buang ketumbuhan seperti yang disarankan oleh doktor pakar tetapi orang ingat saya nak ubah ciptaan Tuhan dan tuduh saya tak ada pegangan agama.

“Saya tidak akan buat sebarang pembedahan plastik hanya semata-mata nak nampak cantik dan menawan,” katanya.

Menyentuh tentang perkembangan seninya yang kini agak jarang kelihatan di layar kaca dan layar perak, Raja Ilya mempunyai alasannya.

“Tahun ini memang saya tak ambil langsung tawaran berlakon. Bukan sebab tak ada projek atau pihak produksi tidak berminat tetapi memang keputusan saya untuk berehat seketika.

“Saya terpaksa tolak tawaran sebuah filem dan beberapa drama bersiri yang menuntut komitmen masa yang agak lama. Ini juga salah satu kaedah bagi saya menguatkan mental dan fizikal seperti mengisi waktu terluang dengan bersenam,” jelasnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post