Belumpun bermula, namun ramai netizen meramalkan selebriti popular tanah air, Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin sebagai peserta terawal yang bakal tersingkir dalam program realiti, Gegar Vaganza 4 (GV4).
Pun begitu, Raja Azura atau lebih mesra disapa sebagai Kak Engku ini enggan mengambil peduli selain terus berpegang teguh dengan prinsipnya iaitu kekal menjadi diri sendiri.
"Saya tak peduli dengan apa orang kata. Saya sangat positif. Bagi saya, setiap rezeki, ALLAH SWT yang tentukan.
"Mereka (netizen) ada hak untuk bercakap sebab hari ini kita hidup dengan media sosial. Jadi, kena terima dengan hati yang terbuka,” katanya pada Media Hiburan.
Pada masa sama, selebriti berusia 45 tahun ini juga bersedia untuk menerima sebarang kritikan yang dilemparkan.
"Saya tak anggap ia (kritikan) sebagai satu perkara yang boleh menjatuhkan saya.
"Lagipun, saya dah lama dalam industri seni. Saya dah lalui bermacam-macam cabaran dan dugaan sejak berusia 13 tahun lagi.
"Semua ini adalah asam garam dalam industri seni sekali gus membantu kita untuk matang,” katanya.
Sebagai persediaan, Kak Engku mengakui sudah pun memulakan latihan dengan guru vokal, Shafi Shariff.
"Saya pasti ramai yang nak tengok saya perform, termasuk mereka yang mengecam saya. Mereka pasti nak cari salah saya, tetapi perkara itulah yang menaikkan semangat saya.
"Saya bukan penyanyi profesional, saya menyanyi ikut naluri hati. Sebab itu kena buat persediaan dan saya dah pun mulakan latihan vokal dengan Cikgu Shafi. Kita nak pergi ‘berperang’, sudahlah ‘senjata’ saya dah berkarat, mereka semua dah guna M-16," katanya sambil tertawa.
Rezeki anak-anak
Dalam pada itu, Kak Engku menyifatkan penyertaannya dalam GV4 hanya untuk memeriahkan kembali industri seni.
Tambahan pula, pelakon filem Magika ini pernah menghasilkan dua album iaitu Dan Bunga Berguguran (1998) dan Raja Azura (2008).
"Mungkin ini kelainan yang mahu dibawa dalam GV. Tapi, mungkin juga diberi peluang ini kerana saya mempunyai album, sebelum ini.
"Lagipun, saya nak tambah satu lagi pengacara, pelakon, penyanyi, penyampai radio semua dah. Peserta saja yang belum. Terima kasih kepada semua yang menyokong saya, yang tak sokong pun terima kasih.
"Bagi netizen yang bertanya Kak Engku boleh nyanyi ke tak, jawab saya bolehlah menyanyi untuk memeriahkan dan menghiburkan industri seni," katanya sambil tertawa.
Walaupun lebih dikenali dalam bidang lain, Kak Engku bagaimanapun melihat ia sebagai satu kelebihan tersendiri.
"Sedang elok album kedua saya disiapkan, saya mendapat tawaran untuk menjadi penyampai radio.
"Sudah tertulis, rezeki saya lebih kepada penyampai radio, jadi saya terpaksa tangguh seketika untuk bergelar penyanyi.
"Jadi, saya melihat pembabitan saya dalam program realiti ini sebagai satu sumber rezeki untuk anak-anak," katanya.
Selain Kak Engku, GV4 turut membariskan 11 peserta lain iaitu Aishah, Elyana, Syura, Haida Hafiz, Liza Hanim, Aqasha, Lan Kristal, Hazami, Tia Jimbara dan dua peserta nusantara, Firman mewakili Indonesia dan Ferhad dari Singapura.
Konsert GV4 bakal bersiaran langsung dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil dan akan disiarkan menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123), jam 9 malam bermula 29 Oktober ini.