Janna Nick dilantik sebagai duta produk Cassandra Beauty Dust.
Meskipun sibuk dengan kerjaya seni, pelakon Janna Nick mempunyai impian unutk menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi.
Menurut Janna, 22, dia merindui saat-saat bergelar pelajar dan mempunyai keinginan ke arah itu.
"Kalau tanya apa yang paling saya rindu, saya rindu nak belajar, namun sayang masa tidak mengizinkan.
"Insya-Allah, jika ada kelapangan waktu mungkin saya boleh fikirkan tentang hal itu. Kalau ada kursus yang fleksible, rasanya tak mustahil untuk saya cuba.
"Saya minat berniaga, jadi saya rasa nak sambung pengajian dalam bidang perniagaan," katanya kepada mStar Online.
Janna ditemui di majlis perasmian dan memperkenalkan duta produk Cassandra Beauty Dust, di Kuala Lumpur pada Rabu.
Dalam bidang pendidikan, dia memiliki sijil pengajian asasi dalam bidang perniagaan daripada sebuah kolej tempatan.
Sementara itu, Janna memaklumkan karier seninya tahun ini agak padat menyebabkan dia sekadar tidur kurang lima jam sehari.
"Alhamdulillah kerjaya saya semakin baik, agak sibuk dengan penggambaran drama dan ditawarkan menjadi duta untuk beberapa produk terkenal.
"Akibat terlalu sibuk, bayangkan sehari saya tidur tak sampai lima jam kerana perlu menyelesaikan tugasan harian.
"Bagaimanapun, saya gembira dengan apa yang saya lakukan dan ini rezeki atas hasil usaha serta kerja kuat yang saya lakukan," katanya.
Bercakap mengenai kerjaya seni, Janna berkata dia masih dalam penggambaran drama Coffee Prince bergandingan dengan Fattah Amin.
Selain itu, Janna bakal melancarkan lagu kedua nyanyiannya dan lagu duet bersama pelakon Alvin Chong.
"Kedua-dua lagu tersebut bakal menjadi lagu tema untuk drama tersebut dan akan dilancarkan pada November ini.
"Cumanya, judul untuk lagu tersebut belum ada lagi dan saya tak sabar menanti reaksi pendengar. Harap semua sukalah ya!" katanya.