Jangan, taruhan terbaru Aziz Harun


Seawal usia enam tahun, penyanyi dari Brunei Darussalam, Aziz Harun telah pun mengorak langkah di dalam dunia seni dan percaturannya untuk menyertai program Bintang Kecil pada tahun 2009 nyata berbaloi apabila diangkat sebagai juara.

Lima tahun selepas itu, anak bongsu daripada enam beradik itu tampil menerusi single pertamanya, Senyum. Meraih perhatian yang bukan calang-calang menerusi lagu tersebut dalam kalangan pencinta muzik di negara ini, Senyum dilihat berjaya membawa nama Aziz sebagai antara bakat muda yang tidak boleh dipandang sepi.

Setahun selepas itu, dia muncul menerusi sebuah lagi lagu berjudul Beautiful.

Sehingga kini, muzik video lagu itu sudah pun ditonton lebih 1.2 juta kali di YouTube.

Menyifatkan nyanyian atas kerjayanya, Aziz seperti yang dipetik mengakui, sejak kecil lagi dia sudah didedahkan dengan muzik.

“Kami adik-beradik memang sudah didedahkan dengan muzik kerana bapa memang minat main muzik. Malah, saya belajar main gitar juga daripada kakak. Jadi daripada situlah, kecintaan pada muzik kian bercambah sehinggalah sekarang,” ujar Aziz yang pernah menerima anugerah Lagu Kolaborasi Terbaik di Anugerah Planet Muzik tahun lalu menerusi lagu Beautiful.

Harap single keempat diterima

Terbaru, penyanyi muda ini muncul dengan single keempat berjudul Jangan. Terdahulu, Aziz turut meraih perhatian dengan lagu Mama yang turut menampilkan Elizabeth Tan sebagai penampilan khas.


Berkongsi lanjut mengenai lagu terbarunya itu, Jangan adalah sebuah cetusan melodi pop yang santai serta gubahan muziknya mampu mengajak para pendengar untuk turut menyanyi bersama.

Mempunyai sentuhan elemen tempo yang catchy dan jazz, lagu tersebut dijangka mudah diterima ramai kerana ritmanya yang easy listening.

Jangan yang dicipta Faizal Tahir, Ezra Kong, Mike Chan, dan Romeo ini juga sudah mempunyai muzik videonya sendiri. Sejak dimuat naik sejak 21 September lalu, lagu ini sudah pun ditonton sekitar 500,000 kali.

Sementara itu, lagu tersebut telah dipilih sebagai runut bunyi untuk juga drama 16 episod, Awak Suka Saya Tak? terbitan Global Station Sdn.Bhd dan dilakonkan Emma Maembong, Alvin Chong, Sabhi Saddi dan ramai lagi.

Single Jangan edaran Warner Music (M) Sdn. Bhd ini boleh dimuat turun di semua digital platform seperti Apple Music, Spotify, JOOX, Yonder Music dan KKBox.

Post a Comment

Previous Post Next Post