Izara Aishah tak risau saham merudum


Diam tak diam, tinggal kira-kira sebulan Izara Aishah bakal disatukan dengan anak tiri Datuk Siti Nurhaliza, Adib Khalid.

Ketika ini, persiapan rancak dibuat untuk mengendalikan tiga majlis sempena hari bersejarah itu.

Izara berkata, khidmat perancang perkahwinan diambil bagi mengendalikan majlis itu.

"Majlis sebelah saya diuruskan Rizalman manakala sebelah Adib dikendalikan Nas Great Ideas.

"Setakat ini, semua persiapan lancar. Syukur ada yang membantu, kalau buat sendiri, pening jadinya," katanya kepada BH Online.

Mengikut perancangan, majlis nikah dan bersanding akan diadakan pada 17 November depan. Majlis menyambut menantu bagi pihak pengantin lelaki diadakan dua hari kemudian.

Mengenai pemilihan tarikh pernikahan, Izara berkata: "Tarikh kahwin yang dipilih tidak ada simbolik. Cuma tarikh itu menyenangkan saya, bakal suami dan keluarga," katanya.

Izara mengaku sudah lama bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai isteri.

"Semuanya berbalik kepada rezeki dan jodoh. Alhamdulillah, ia dipermudahkan. Kita buat dan pikul tanggungjawab ini bila mampu," kata bintang jelita yang mula dikenali menerusi drama Vanilla Coklat itu.

Izara tidak gusar dengan andaian kononnya 'saham' atau kariernya merudum selepas bernikah.

"Saya realistik dalam apa yang dilakukan. Dalam hidup ini saya percaya kita dicipta berpasangan yakni menerusi perkahwinan. Saya percaya rezeki ada di mana-mana.

"Peminat sudah bijak menilai pelakon kesayangan tidak kira sama ada sudah berstatus bujang atau berkahwin," katanya.

Izara juga tidak risau dengan tawaran watak yang sesuai dengan statusnya kelak.

"Selama ini pun saya bersikap selektif. Prinsip itu kekal tak kiralah sebelum atau selepas berkahwin," katanya yang rapat dengan Adib sejak tiga tahun lalu.

Post a Comment

Previous Post Next Post