Usahawan selebriti, Datuk Seri Vida mengesahkan tiada hubungan istimewa terjalin antaranya dengan pembantu peribadi, Ahmad Iqbal Zulkefli, 23, seperti yang diperkatakan netizen.
Bagi mengelak kontroversi terus hangat, Vida membuat keputusan menukarkan Iqbal yang bertugas memantau operasi media sosial syarikat, ke Jabatan Pemasaran.
"Saya buat keputusan Iqbal tidak lagi menjaga media sosial dan sekarang dia ditugaskan di bahagian pemasaran supaya cerita tidak manis ini tidak lagi berterusan.
"Kalau dalam bahagian media sosial, dia perlu bersama dengan saya selalu.
"Jadi hal ini akan berpanjangan walaupun saya sudah beritahu hubungan saya dan dia hanyalah antara majikan dengan pekerja," katanya.
Sejak minggu lalu, spekulasi hubungan Vida dan Iqbal hangat diperkatakan apabila lelaki itu dilaporkan mengaku jatuh cinta dengan usahawan kosmetik itu.
Sebelum ini, Vida dilaporkan berkata, tidak akan menolak jodoh andai ditemukan dengan lelaki yang sesuai dengan dirinya.
Ketika pertama kali ditanya mengenai hubungannya dengan Iqbal, minggu lalu, Vida tertawa dan mengakui telefon bimbitnya sesak dengan panggilan dan pesanan yang dihantar oleh semua pihak, termasuk media bagi mendapatkan kenyataan berhubung berita berkenaan.
Vida atau nama sebenarnya, Hasmiza Othman, 46, mengakui gosip itu mencalar reputasinya sebagai usahawan dan enggan perkara itu berterusan.
Sementara itu, Iqbal berkata, beliau akur dengan keputusan dibuat Vida demi menjaga hubungan semua pihak.
"Saya ditukarkan ke Jabatan Pemasaran untuk menyelamatkan dan meredakan keadaan termasuk ingin menjaga hati keluarga.
"Iqbal ikut saja apa yang terbaik... Vida percaya Iqbal boleh kuasai semua ini (bidang pemasaran) , jadi saya ikutkan saja," katanya.