Mohamed Danish Hakim
Anak sulung Norman Hakim, Mohamed Danish Hakim, 14, teruja dapat menyaksikan detik indah persandingan ibu dan bapanya bersama pasangan masing-masing di Shah Alam, baru-baru ini.
Bukan sekadar memeriahkan acara cukup bermakna berkenaan, malah Danish juga mengiringi perarakan masuk pasangan Norman Hakim dan Memey Suhaiza serta Abby Abadi dan Jaiezzany dengan bacaan selawat.
Danish berkata, beliau bersyukur biarpun jodoh ibu dan bapanya tidak panjang, namun mereka dapat mengekalkan silaturahim yang baik demi anak-anak dan menjadi sebuah keluarga besar serta harmoni.
"Kalau kita lihat, bukan semua orang lahir dalam keluarga yang tidak bermasalah, namun ia dapat diatasi dengan penyatuan sebegini. Siapa sangka ibu bapa saya yang sudah tidak bersama, namun masih berbaik demi anak-anak?
"Lebih manis apabila detik indah persandingan kedua-dua ibu bapa saya di atas pelamin disaksikan oleh anak mereka," katanya kepada BH Online.
Mengaku dirinya seorang yang pemalu, namun kata Danish, demi ibu dan bapanya, beliau membuang perasaan itu bagi menjayakan majlis.
"Saya juga maklum, tidak semua menyukai kita, jadi saya mencuba sebaik mungkin untuk tidak mempedulikan kata-kata negatif dilemparkan oleh sesetengah pihak. Biarlah apa orang nak kata, asalkan kami bahagia," katanya.
Selain persandingan kedua-dua ibu bapanya bersama pasangan mereka, majlis terbabit turut meraikan Danish yang berjaya khatam hafazan al-Quran 30 juzuk.
Menerusi perkahwinannya dengan Abby, Norman turut dianugerahkan dua lagi cahaya mata, iaitu Marissa Dania Hakim, 12, dan Maria Danisha Hakim, 9.
Bersama isterinya sekarang, Memey, Norman dianugerahkan dua anak lelaki, Muhammad Darwisz Hakim, 4 dan Muhammad Dikhriz Hakim, 2.