Selepas kegagalan dalam perkahwinannya setahun lalu, penyanyi Cat Farish mengakui masih berasa trauma untuk mendirikan rumah tangga semula.
Cat atau nama sebenarnya, Farish Zaquan, 43, berkata, dia mempunyai perspektif negatif dan takut hubungan yang dibina itu akan berakhir dengan perpisahan sekali lagi.
"Saya memang ada perasaan nak berkahwin semula tapi saya takut. Dalam kepala saya mula fikir perkahwinan tersebut sampai berapa lama sahaja akan bertahan.
"Sebab itu juga saya kini jarang menghadiri majlis perkahwinan kerana fikiran saya sentiasa negatif bila fikir tentang kahwin," ujarnya.
Cat Farish belum bersedia untuk berkahwin.
Cat mengulas tentang perkembangan kehidupan peribadinya selepas bercerai dengan Hartiny Ramli pada April tahun lalu.
Berkongsi hidup dengan Hartiny, bekas ahli kumpulan Ruffedge itu dikurniakan tiga orang anak iaitu Nia Karlyssa, 11, Eva Latheefa, 8, dan Qul Iskandar, 7.
Cat yang ditanya tentang perkembangan bekas isterinya, memberitahu wanita berkenaan sudah mendirikan rumah tangga baru-baru ini.
Katanya, dia mendoakan kebahagian dalam kehidupan baharu yang dibina bekas isterinya itu.
Sementara itu, Cat berkata, dia tidak menutup pintu hatinya untuk menerima kehadiran wanita terutama yang faham dengan kerjayanya sebagai anak seni.
"Saya tidak tutup hati saya daripada wanita, cuma kali ini kalau boleh yang sesuai dan boleh membantu saya dalam kerjaya. Saya suka lihat hubungan Achey dengan isterinya yang jadi pengurus dan tulang belakang kepada kerjaya dia.
"Kalau boleh saya juga mahu cari yang seperti itu dan menerima saya serta anak-anak," ujarnya.