Berkat Jaga Ibu, Roslan Shah Dirasuk


Roslan dan pelakon utama 'Hantu Sei Ladi', Rosalina Musa sewaktu sesi tayangan filem berkenaan di Kepri Mall, Batam, Indonesia baru-baru ini.

Pengacara dan pelakon Roslan Shah menganggap rezekinya apabila mendapat tawaran berlakon filem buat pertama kali kerana berkat dia menjaga ibunya yang sakit di Singapura.

Roslan atau nama sebenarnya Roslan Udin, 47, berkata, dia kini fokus terhadap ibunya, Mariam Kari, 78 yang memerlukan penjagaan rapi kerana sudah lanjut usia.

"Sekarang saya ulang-alik dari Malaysia ke Singapura untuk jaga ibu. Alhamdulillah, keadaannya sudah baik namun terpaksa bergerak dengan kerusi roda.

"Mungkin berkat sebab jaga ibu yang sakit, saya akhirnya dapat berlakon filem buat kali pertama dalam hidup saya dengan watak dirasuk hantu.


Roslan Shah memegang watak Pak Long dalam filem Hantu Sei Ladi.

"Apa yang lebih mengujakan, filem pertama saya adalah filem seram yang diterbitkan oleh produksi dari negara Indonesia," ujarnya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin.

Menurut Roslan, filem Hantu Sei Ladi diterbitkan oleh produksi Hang Sinema Langit dan ditayangkan secara serentak di 40 panggung wayang seluruh Indonesia bermula 12 Oktober lalu.

Dia yang membawa watak komedi sebagai Pak Long mengakui teruja dengan sambutan yang diberikan oleh rakyat Indonesia terhadap filem itu.

"Apabila pergi buat promosi filem, orang di sana sangat mesra dan teruja jumpa saya.

"Alhamdulillah. Mereka juga suka watak komedi yang saya bawa dalam filem Hantu Sei Ladi," katanya.


Roslan Shah bersama barisan pelakon Hantu Sei Ladi sewaktu sesi tayangan di Indonesia baru-baru ini.

Dalam pada itu, Roslan turut berkongsi pengalaman seram sepanjang penggambaran filem itu di Batam, Indonesia.

Menurutnya, dia dan warga filem tersebut sering diganggu makhluk halus sepanjang berada di sana.

"Banyak gangguan mistik seperti bunyi-bunyi misteri dekat rumah penginapan kami.

"Agak menakutkan juga sehingga pihak produksi terpaksa membawa ustaz sewaktu kami berada di sana," ujarnya lagi.

A post shared by roslanshah (@realroslanshah) on



Selain Roslan, pelakon yang turut membintangi filem itu ialah Rosalina Musa, Keysha Tita, Zahira Pratamura dan Triyan Wirabintan.

Mengenai tayangan Hantu Sei Ladi di Malaysia, Roslan berkata pihak produksi masih dalam perancangan dan mahu melihat sambutan di Indonesia dahulu sebelum membuat keputusan untuk ditayangkan di Malaysia.

Post a Comment

Previous Post Next Post