Ayda Jebat Dia tetap hero terbaik saya!


Sesungguhnya pemilik tubuh kecil bernama Nur Suhada Jebat, 25, atau Ayda Jebat ini tidak pernah sunyi daripada kontroversi cintanya dengan selebriti lelaki tempatan. Setiap kali Ayda Jebat terbabit dengan projek baharu, setiap itulah ada saja timbul gosip cinta dengan lelaki yang digandingkan bersamanya.

Menariknya, formula cinta di lokasi sebegitu tidak pernah disanggah kasar oleh Ayda malah dilayan secara baik oleh artis yang mesra media ini. Tidak pernah melenting dengan setiap kritikan berhubung formula kerjanya yang dilihat lebih selesa menampilkan isu percintaan, kekalnya populariti Ayda hari ini sedikit sebanyak bergantung kepada faktor yang sama.

Bermula dikaitkan bercinta dengan aktor berbadan kekar, Zul Ariffin diikuti penyampai radio Era.FM, Radin Amir Effendi dan pelakon Redza Rosli, Ayda tidak pernah gagal mempamerkan babak romantik di khalayak seperti mana mengikut ‘skrip projek’ mereka.

Antara tiga selebriti itu, hanya Zul seorang sahaja yang dipercayai benar-benar mempunyai hubungan istimewa dengan Ayda. Walaupun projek drama Rindu Awak 200% yang digandingkan bersama mereka sudah berakhir empat tahun lalu namun kisah keintiman mereka masih kekal diperkatakan hingga ke hari ini.

Ditambah dengan ‘kerja’ kedua-dua peminat sentiasa setia menggabungkan perkembangan terkini antara dua pelakon berkenaan dalam laman sosial dan sentiasa mengimbas paparan romantik antara keduanya, itu sudah cukup membuktikan Ayda masih relevan ‘bercinta’ dengan Zul.

Lama kelamaan tanda disedari, ada usaha untuk menyemarakkan lagi gelombang cinta Ayda dan Zul apabila mendapat sokongan padu daripada kedua-dua peminat yang masih merindui gandingan romantis mereka hingga ke hari ini.

Ini kerana selepas drama Rindu Awak 200% itu berakhir, kedua-duanya dikhabarkan tidak lagi berhubung antara satu sama lain. Mudah kata, masing-masing membuat haluan sendiri dan larut dalam kesibukan kerja mengikut haluan yang ditentukan.

Zul pada waktu itu juga mendedahkan sudah bertemu dengan teman wanita baharu, pelakon Zahirah MacWilson, 22, selepas dikatakan putus cinta dengan Gayatri Su-Lin Pillai manakala Ayda pula masih belum berjumpa pengganti baharu.

Yang jelas masing-masing tidak berhubung antara satu sama lain hinggalah ketika terserempak di belakang pentas majlis anugerah bintang popular pada Mei lalu. Tanpa semena-mena kedua-duanya dilihat saling menegur antara satu sama lain sambil disaksikan beberapa mata kelab peminat Ayda, AJ Screamer.

Keadaan itu amat memeranjatkan kerana selama ini, boleh dikatakan hubungan Ayda dan Zul agak dingin lantaran aktor berkenaan sudah mempunyai komitmen cinta baharu. Bahkan gambar mesra antara mereka berdua dalam drama Rindu Awak 200% didapati turut dipadamkan dalam akaun Zul selepas itu.

Hubungan dingin bertukar menjadi mesra apabila baru-baru ini Zul mengirimkan klip video yang mendoakan kejayaan Ayda apabila drama yang dilakonkan bersama aktor Syafiq Kyle berjudul Dekatkan Jarak Kita akan ditayangkan tidak lama lagi.

Ayda turut membuat perkara yang sama pada Zul yang kini sedang hangat dengan drama Titian Cinta yang kini sedang ditayangkan. Kedua-dua video berkenaan turut dimuat naik di Instagram. Ada yang beranggapan, mereka bagai kembali berasmara dengan perkembangan baharu ini. Tidak mustahil sebenarnya untuk itu berlaku.

Namun bagi Ayda, dia menyerahkan masa depan kepada takdir.

“Hubungan kami berjalan secara profesional. Kami bukan pasangan bercinta pun sejak dulu sampai sekarang. Cuma Zul adalah hero terbaik buat saya. Gandingan paling serasi untuk setiap drama dijayakan.

“Terlalu banyak maklum balas peminat dari dulu sampai sekarang. Masing-masing tetap memperkatakan kehebatan Rindu Awak 200% biarpun drama itu sudah empat tahun berlalu.

“Selepas ditimbang tara, saya berbesar hati untuk berlakon dengan dia kalau ada projek baharu pada masa akan datang. Senang kerja, masing-masing dah tahu keserasian,” kata Ayda keperibadian Zul yang gemar mengusik dan berjenaka.

Tahu batasan

DALAM soal mencipta keserasian juga, Ayda memberitahu dia akan memberikan seluruh komitmen untuk memastikan gandingannya selesa bersama dengannya sepanjang terlibat dalam kerjasama.

Keserasian itu juga sangat penting dalam memastikan hala tuju persembahan lakonan. Ayda juga tidak akan berganjak daripada hal tersebut biarpun memerlukan komitmen masa yang berlebihan daripadanya.

“Tolak tepi soal cemburu atau apa saja yang membabitkan emosi. Kalau nak cemburu pun, saya tak boleh buat apa. Kita kerja, bukannya saja-saja nak jual cerita peribadi pun.

“Kalau ada orang kata saya sengaja reka cerita bercinta dengan Raden dan Redza supaya nak bagi rating sebelum ini, saya tak boleh nak komen panjang-panjang. Sekali lagi saya beritahu, ini soal kerja.

“Yang penting tahu batasan. Saya pun tak nak mencetuskan rasa kurang senang pihak terbabit apabila kerap mempamerkan kemesraan dengan aktor gandingan dalam projek tertentu,” ujarnya lagi.

Terikat dengan tempoh ‘garis mati’ untuk melengkapkan album pop yang dijangka berada dalam pasaran hujung tahun ini, pada masa yang sama ada beberapa acara penting dalam kerjaya nyanyian tidak lama lagi.

Antara persediaan yang perlu dilakukan adalah persembahan untuk Anugerah Planet Muzik 2017 (APM 2017) yang bakal berlangsung di Singapura pada 14 Oktober ini.

Selain itu, Ayda juga terbabit dengan komitmen selepas dicalonkan dalam kategori SEA Social Wildcard (Malaysia) mewakili Asia Tenggara untuk Anugerah MTV Europe Music Awards 2017 (EMA) di London pada 12 November akan datang.

Pinjamkan Hatiku

SATU perkara lagi yang membuat mood Ayda dilihat teruja apabila berkongsi cerita tentang filem Pinjamkan Hatiku terbitan Aurawhite Global Sdn. Bhd. yang bakal ditayangkan 30 November ini.

Berdebar-debar menanti reaksi peminat, Ayda juga bersyukur apabila perjalanan promosi untuk filemnya itu berjalan lancar dari saat pelancaran runut bunyi filem berkenaan berlangsung bulan lepas.

Ayda bergandingan dengan penyanyi Adi Priyo menyanyikan lagu Pinjamkan Hatiku yang turut mendapat perhatian kira-kira sejuta pendengar selepas dimuat naik di YouTube sejak 12 September lalu.

“Ada banyak reaksi yang peminat yang memperkatakan tentang filem itu. Secara tidak langsung memberi petanda baik buat saya sebagai bintang utama filem berkenaan untuk sama-sama mempromosikan filem berkenaan,” ujarnya.

Selain Ayda, Pinjamkan Hatiku dibintangi Shaheizy Sam, Farid Kamil, Lia Natalia, Azizah Mahzan, Norman Damanhuri, Sharifah Haslinda Al Khaired dan Daaim Jailani.

Filem yang diarahkan Osman Ali itu turut menjalani penggambaran di New Zealand dan beberapa tempat peranginan di Perak.

Post a Comment

Previous Post Next Post