Demi zuriat, penyanyi Atilia Haron, 43, sanggup melakukan kaedah persenyawaan in-vitro (IVF) sekiranya perlu.
Tiga tahun mendirikan rumahtangga bersama jurutera bunyi, Adam Sofian Mazlan, 40, Atilia atau Raja Putri Atilia Raja Haron akui sudah mencuba pelbagai rawatan alternatif seperti minum rebusan akar kayu dan urutan tradisional sebagai usaha mendapatkan anak.
Katanya, tidak ada yang perlu dimalukan apabila bercerita mengenai cahaya mata kerana ramai wanita lain turut mengalami masalah sama.
"Saya sudah pergi ke klinik untuk melakukan pemeriksaan. Alhamdulillah, semuanya baik dan tidak ada masalah. Doktor pun kata dalaman saya tidak seperti usia 43 tahun.
"Saya harus cepat sebab usia sudah 43 tahun dan saya juga ada memikirkan untuk melakukan kaedah IVF. Tapi buat masa ini, saya ada cuba minum rebusan akar kayu dan melakukan urutan tradisional," katanya.
Atilia yang juga anak penyanyi Salamiah Hassan berkata, dia selalu berfikir positif mengatakan belum ada rezeki untuknya menimang cahayamata.
"Saya harus positif dan terus mencuba untuk mendapatkan zuriat," katanya.
Atilia berkahwin buat kali kedua pada 2014 selepas 12 tahun berkenalan.