Penyanyi kelahiran Singapura, Aisyah Aziz tidak pernah merungut atau mengeluh apabila terpaksa berulang-alik dari Singapura ke Malaysia bagi melaksanakan kerjaya seninya.
Menurut Aisyah, dia bersyukur apabila negara kelahirannya semakin menerima kehadirannya dalam industri seni nyanyian terutama pengikut dalam kalangan bukan berbangsa Melayu.
“Setakat ini, saya sering berulang dari Singapura ke Kuala Lumpur. Jika ada tawaran persembahan atau acara yang perlu saya hadiri, saya akan ke Kuala Lumpur.
“Selesai saja semua tugas, saya akan kembali ke Singapura untuk selesaikan kerja di sana pula.
“Walaupun agak memenatkan, semuanya saya lakukan kerana rasa cinta yang mendalam terhadap bidang muzik,” katanya.
Walaupun Aisyah kini semakin aktif melebarkan sayapnya di Singapura dan Indonesia, adik kepada pelakon Aliff Aziz itu menafikan dia melupakan peminat di Malaysia.
“Berulang-alik tidak bermakna saya lupa dengan peminat Malaysia. Saya akui menerima banyak tawaran di Singapura seperti tawaran persembahan nyanyian, teater muzikal dan sebagainya. Jadi, saya harus pandai membahagikan masa dan tidak melepaskan peluang.
“Tak timbul soal lupa kerana peminat selalu berada dalam hati saya. Saya sering berinteraksi dengan peminat di laman sosial untuk mendekatkan diri dengan mereka,” katanya.
Ditanya mengenai perkembangan terbarunya, pemilik nama sebenar Nur Aishah Aziz ini mengakui dia kini semakin berjinak-jinak menyertai pementasan teater di Singapura.
Menurut Aisyah, dia yang sudah terbabit dalam tiga pementasan teater muzikal menganggap pentas teater sebagai platform terbaik untuk dirinya mengasah kemahiran menjadi seorang penyanyi yang lebih berani dan berkeyakinan tinggi.
“Teater adalah akademi terbaik yang banyak mengajar saya untuk memperbaiki mutu persembahan nyanyian. Menerusi pementasan teater, pelakon diajar mengawal pentas, lontaran vokal dan mengawal emosi penonton yang hadir.
“Ia juga dianggap sebagai pembelajaran percuma yang dapat saya aplikasikan terhadap bidang seni nyanyian. Jika diberi peluang untuk berlakon teater bahasa Melayu, saya tidak akan berfikir panjang,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Aisyah bakal tampil dengan single terbaru berjudul Indah Pada Waktunya berduet dengan penyanyi Indonesia, Rizky Febian.
Lagu itu disifatkan sebagai senjata baru yang mungkin dapat mengangkat namaya ke pasaran muzik Indonesia.