Baru beberapa bulan kembali bergelar isteri setelah enam tahun menjanda, Aishah kini bersedia untuk menemui peminat menerusi program Gegar Vaganza 4.
Namanya sudah cukup dikenali. Deretan lagu hits seperti Janji Manismu, Cinta Beralih Arah, Camar Yang Pulang, Kemaafan Dendam Yang Terindah dan banyak lagi meletakkan Aishah sebagai antara pemilik vokal emas di persada seni suara tanah air.
Sekian lama menyepi tanpa banyak khabar seni, pemilik nama sebenar Wan Aishah Wan Ariffin itu membuat kejutan apabila terpilih menyertai rancangan realiti popular Gegar Vaganza musim keempat (GV4) yang akan bermula 29 Oktober ini.
Tidak cukup dengan berita tersebut, wanita berusia 52 tahun itu turut hadir dengan perkhabaran istimewa apabila mengesahkan dirinya kini kembali memegang status sebagai isteri selepas enam tahun hidup menjanda.
Sebelum ini, Aishah mempunyai dua orang cahaya mata iaitu Armand Azhari, 24, dan Azhad Ahlami, 19, menerusi perkahwinan pertama dan keduanya. Suami dan perkahwinan pertamanya tidak pernah didedahkan kepada umum.
Dia kemudian mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Abdullah pada 1997 sebelum sah bercerai dalam tahun 2005. Aishah kemudiannya berkahwin dengan Faizal Sazali Zulkifli pada 2010, namun bercerai setahun kemudian.
Ditemui selepas sidang media memperkenalkan peserta GV4 di The Gardens Theatre, The Gardens Mall baru-baru ini, Aishah berkata, penyertaannya disokong penuh oleh suami tercinta.
KOSMO!: Tahniah, khabarnya Aishah kini sudah kembali berstatus isteri, boleh kongsikan sedikit tentang pernikahan tersebut dan siapa lelaki itu?
AISHAH: Terima kasih atas ucapan tetapi saya perlu memohon maaf kepada semua pihak kerana tidak dapat berkongsi informasi tentang suami kerana ia terlalu peribadi buat saya. Apa yang boleh dikongsikan, benar saya sudah bernikah semula beberapa bulan lalu.
Memandangkan perkahwinan tersebut masih baharu, bagaimana penerimaan suami terhadap keputusan anda menyertai GV4?
Alhamdulillah, dia banyak memberikan dorongan dan galakan apabila mendapat tahu saya terpilih menyertai GV4, malah dia turut hadir pada sidang media ini sebagai tanda sokongan. Malangnya, saya tidak boleh memperkenalkan atau menunjukkan siapa dirinya kepada semua.
Bercakap mengenai penyertaan dalam GV4, apakah yang menyebabkan anda bersetuju berada dalam pertandingan tersebut sedangkan telah memiliki pengaruh besar dan boleh disifatkan sebagai legenda dalam industri muzik?
Saya rindu untuk menyanyi dan membuat persembahan di hadapan peminat. Sudah lama mereka bertanya bila lagi saya hendak membuat persembahan yang boleh ditonton oleh semua orang kerana selama ini saya banyak menyanyi dalam majlis-majlis korporat dan tertutup.
Berkenaan status legenda itu, saya tidak melihat ia sebagai suatu halangan kerana pada akhirnya saya cuma seorang penyanyi yang sudah lama tidak menyanyi dan mahu kembali menghiburkan peminat seni.
Adakah anda sudah bersedia untuk dikritik oleh para juri sepanjang pertandingan kelak?
Saya sudah berada dalam industri selama lebih 30 tahun dan melalui pelbagai tohmahan serta kritikan yang jauh lebih dahsyat. Setakat hendak mendengar juri memberi komen, rasanya tiada masalah kerana kita semua manusia yang tidak sempurna dan pasti akan ada kelemahan walau sehebat mana sekalipun.
Bagaimana pula dengan komen-komen masyarakat di laman sosial yang tidak dapat dikawal dan adakalanya melampaui batas?
Banyak pihak terutama kru produksi telah berpesan kepada saya supaya jangan baca komen tersebut tetapi sebenarnya saya sudah bersedia. Saya sedar, walaupun ada ramai peminat, pasti banyak juga yang membenci. Jadi, terima sahaja dengan hati terbuka.
Buat masa ini, siapa pesaing terdekat anda dalam senarai 11 lagi peserta terlibat?
Saya malas hendak memikirkan soal pertandingan kerana itu bukan tujuan asal saya menyertai GV4. Apa yang saya fikirkan ialah untuk menjaga kesihatan dengan baik, naik ke atas pentas, menyanyi sepenuh hati dan jika ada rezeki untuk mara, saya teruskan dengan rutin yang sama.
Maaf bertanya tetapi bagaimana pula dengan pendirian politik anda apabila menyertai GV4?
Buat masa sekarang, fokus dan komitmen saya hanya 100 peratus kepada program ini. Jadi, saya mohon agar perkara yang tidak berkaitan seni diletak ke tepi terlebih dahulu.
Di pentas GV4 saya hanyalah Aishah, seorang penyanyi yang cuba mencari platform untuk kembali mewarnai industri muzik tanah air.