Afgan bimbang peminat jemu


Penyanyi popular Indonesia, Afgan, tidak gusar untuk terus menjayakan persembahan besar di negara ini kerana yakin dengan sokongan tidak berbelah-bagi peminat setianya.

Bakal meraikan sambutan sedekad pembabitan dalam dunia seni suara, tahun depan, Afgan, 28, turut berhasrat mengadakan konsert di negara ini selain Indonesia.

"Insya-Allah, jika ada rezeki saya ingin lagi mengadakan konsert tahun depan. Biarpun sering ke Kuala Lumpur, saya tidak ragu-ragu terus membuat konsert di sini sebagai tanda penghargaan kepada peminat," katanya.

Untuk tidak membuat peminatnya jelak, Afgan berusaha memperkenalkan lagu baharu yang menampilkan sisi matang dirinya sebagai penghibur.


Penonton menghidupkan lampu pada telefon bimbit mereka kita menonton persembahan kumpulan Ungu pada Konsert terunggul Afgan & Ungu di Stadium Malawati Shah Alam.

Sebagai langkah awal, Afgan terlebih dulu memperkenalkan beberapa lagu terbarunya ketika beraksi dalam Konsert Terunggul Afgan Bersama Ungu di Stadium Malawati, Shah Alam, malam tadi.

Disebabkan terlalu teruja dengan sambutan hebat peminat, Afgan terlupa dirinya masih kepenatan kerana baru pulang dari Korea Selatan, kelmarin.

"Saya tidak berkesempatan mengadakan latihan kerana baru tiba dari Korea Selatan dan hanya tidur sepanjang hari bagi mendapatkan rehat yang mencukupi.

"Saya berpuas hati dengan persembahan yang diberikan, malah ingin berterima kasih kepada peminat yang menyuntik aura positif membuatkan saya lebih bersemangat untuk beraksi.



"Kebanyakan lagu yang dinyanyikan dipetik daripada album baharu kerana ingin memberikan pendedahan kepada peminat menjelang konsert saya pada tahun depan.," katanya.

Selain Jodoh Pasti Bertemu, Afgan turut menyanyikan lagu popularnya yang lain antaranya Sadis, Sabar, Bukan Cinta Biasa dan Terima Kasih Cinta.

Post a Comment

Previous Post Next Post