Achey Single sulung hadiah buat isteri


Pelawak, Achey mendedahkan single pertama nyanyian beliau berjudul Yang Terindah ialah hadiah bersempena ulang tahun kelahiran ke-27 isterinya, Nor Hasanah Yahaya, pada April tahun lalu.

Achey atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah, 31, berkata dorongan daripada rakan terdekat memberikan beliau kekuatan untuk mempromosikan lagu berkenaan di stesen radio tempatan, namun jauh sekali mahu menandingi penyanyi sedia ada.

"Yang Terindah ialah hadiah buat isteri bersempena hari jadinya yang direalisasikan dengan bantuan Zimie daripada kumpulan The Majistret. Setelah selesai rakaman, beberapa teman memberikan semangat untuk saya menjadikan lagu itu sebagai single pertama.

"Berbekalkan dorongan rakan dan keluarga, saya membawa lagu itu ke stesen radio. Kalau ada rezeki, Yang Terindah mungkin dimainkan oleh mereka. Saya pula muncul dengan single terbabit bukanlah untuk menyaingi sesiapa, sebaliknya sekadar mencuba nasib.

"Dengan adanya lagu Yang Terindah ini, ia memudahkan saya untuk menghiburkan tetamu atau peminat pada sesebuah majlis yang saya kendalikan," katanya kepada BH Online.

Lagu berkenaan mengisahkan perjalanan enam tahun kehidupannya berumahtangga bersama-sama isteri.

Sering kali dikritik kerana dikatakan bingit ketika mengacara, Achey berkata, sebagai manusia biasa, beliau tidak mampu untuk memuaskan hati semua pihak.

"Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, saya tidak dapat berbuat apa-apa mengenai hal itu. Ia adalah diri saya, namun tidak pula saya menggunakan nada terlalu tinggi ketika menyanyikan single ini.

"Oleh itu, saya berharap pertaruhan sulung saya di arena seni suara dapat diterima oleh semua pihak. Kalau ada rezeki untuk berjinak-jinak dalam bidang nyanyian, apa salahnya?" katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post