Tiz Zaqyah bikin comeback di layar perak


Sebagai kelainan, pelakon popular, Tiz Zaqyah tampil berbeza menerusi filem terbarunya, Kolestrol VS Cinta mulai 14 September lalu.

Bahkan, wanita berusia 29 tahun ini mengakui wataknya bukanlah dirinya yang sebenar.

“Saya membawakan watak seorang pereka fesyen yang sangat ‘gedik’ bernama Krisya.

“Karakternya sangat ringan, tapi memberi satu cabaran baru kerana saya tak pernah membawakannya lagi.

“Untuk lebih memahami karakter, saya jadikan filem lakonan Cameron Diaz sebagai rujukan utama. Lagi pula, watak itu sangat jauh dengan diri saya,” katanya pada Media Hiburan.

Bukan itu sahaja, pemilik nama sebenar Siti Zaqyah Abdul Razak ini juga selesa kembali bekerjasama dengan pelakon popular, Kamal Adli.

Katanya, filem ini merupakan kerjasama ketiga bersama Kamal selepas drama bersiri Impian Sunsilk dan Gemilang.

“Saya dah lama kenal Kamal, dan saya pun tiada masalah untuk bekerja dengan dia.

“Dulu, kami bekerja ketika sama-sama baru nak naik. Sekarang ini pun dia masih sama dan tak pernah berubah,” katanya sambil tersenyum.

Pada masa sama, katanya, filem itu juga menjadi permulaan untuk lebih serius di layar perak.

“Kali terakhir saya berlakon filem ialah Cinta Kura-Kura, lima tahun lalu.

“Sebelum ini, saya terlalu sibuk dengan pembikinan pelbagai drama dan telefilem.

“Jadi, saya merancang untuk membuat comeback dalam filem dan impikan watak yang lebih berat dan mampu memberi impak kepada penonton,” katanya.

Selain Tiz dan Kamal, Kolestrol VS Cinta turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Vicha Saywho, Ardell Aryana, Anam Azizani dan Dayang Areeda.

Tolak berlakon teater?

Dalam pada itu, Tiz mengakui takut untuk melebarkan sayap lakonannya ke pentas teater ekoran mengalami masalah stage fright. Rentetan itu, pelakon drama bersiri Anak Merdeka ini itu, terpaksa menolak beberapa tawaran berlakon teater walaupun daripada Datin Seri Tiara Jacquelina dan Erma Fatima.

“Saya tahu saya dah lama berlakon, tapi saya masih belum bersedia untuk berlakon teater.

“Saya pernah menjalani uji bakat untuk teater Saloma, namun, selepas itu saya terus tarik diri.

“Saya juga pernah ditawarkan untuk berlakon dalam Natrah dan Tun Siti Hasmah, tapi saya terus tolak dan cakap tak nak,” katanya.

Pun begitu, bintang filem Nur Kasih ini tetap menyimpan impian untuk mencuba di pentas teater, suatu hari nanti.

“Saya memang nak cuba, tapi saya takut. Saya ada stage fright sejak dulu lagi. Bila nampak cahaya, saya terus jadi panik, gagap dan hilang suara.

“Memang rasa rugi dan menyesal, tapi lebih baik saya bersedia sebelum buat sesuatu,” katanya.

[Other Promo]

Post a Comment

Previous Post Next Post