Tip Erra Fazira Untuk Shahir Zawawi


Cik Pang sebenarnya tumpang bangga apabila penyanyi Shahir Zawawi antara 12 peserta yang dipilih untuk meneruskan perjuangan di pentas AF Megastar.

Rupa-rupanya juara Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) itu dapat tip daripada teman yang juga primadona filem Melayu alaf baru, Erra Fazira.

Ia bukan rahsia kerana minggu lalu Shahir turut berkongsi cerita itu. Rasanya, ramai peminat yang ingin tahu apa yang dikongsi Erra dengan Shahir.

Cik Pang pun apalagi, terus berusaha cungkil apa yang dikongsi Erra. Kebetulan teman Cik Pang berkesempatan menemubual Erra dan sempat bertanya kepadanya mengenai kenyataan Shahir itu.

Kata teman Cik Pang, sebagai penyanyi yang mempunyai pengalaman dan pernah beberapa kali menjadi juri untuk program realiti pencarian bakat, Erra berkongsi maklumat membabitkan apakah yang selalunya dimahukan juri daripada peserta. Erra turut berkongsi bagaimana hendak menarik perhatian penonton.

Begitupun tegas Erra kepada teman Cik Pang, bab untuk memenangi hati penonton dia tidak bimbang kerana kelebihan itu memang ada pada Shahir.

Erra juga memberi idea lagu pilihan yang mahu dinyanyikan pada setiap minggu sepanjang AF Megastar berlangsung dan bagaimana lagu itu harus didendangkan. Begitu juga dengan penampilan diri agar bersesuaian dengan tema lagu dipilih.

Tegas Erra, tip dan perkongsian itu dibuat sewaktu Shahir awal-awal melahirkan hasrat untuk menyertai AF Megastar yang bersiaran setiap Ahad di Astro Ria sejak 3 September lalu.

Begitupun, tanggungjawab untuk menguruskan Shahir sekarang diserahkan bulat-bulat kepada syarikat pengurusan Indigital Sdn Bhd.

Cuma ada beberapa kali Shahir merujuk kepada Erra dan sebagai teman, sudah tentu pelakon jelita itu berusaha untuk membantu sekadar termampu.

Kalau hendak diikutkan daripada penjelasan Erra kepada teman Cik Pang ini, boleh dikatakan banyak jugalah tip yang dikongsikan.

Bertuah juga Shahir kerana apabila dia membuat keputusan untuk kembali aktif dan mempertandingkan bakatnya kembali dalam program AF Megastar, ada orang membantu memberikan sokongan juga panduan. Apatah lagi ia datang daripada temannya seorang penggiat lama dan punya banyak pengalaman.

[Other Promo]

Post a Comment

Previous Post Next Post