Siti Saerah sudah mula tidak bertudung selepas dua tahun bercerai. Dia kini mahu kembali aktif dalam dunia seni dan bakal muncul dengan single berjudul Hanya Restu.
Sejak rumah tangga yang didirikan bersama Saiful Anuar Ahmad Shafie berakhir pada tahun 2014, penyanyi Siti Saerah Tarudin terus mendiamkan diri tanpa sebarang khabar berita.
Kini, selepas empat tahun episod sedih tersebut berlalu, adik kepada penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza itu dilihat lebih bersedia apabila membuat penampilan sulung pada sidang akhbar karnival KLXtravaganza di Wangsa Maju baru-baru ini.
Kelihatan begitu terbuka untuk menjawab ledakan soalan daripada media, wanita berusia 34 tahun itu tampil dengan tidak lagi berhijab seperti dahulu.
Malah, tanpa berselindung kehadirannya pada sidang akhbar karnival anjuran Persatuan Karyawan Malaysia dan Dewan Bahasa Kuala Lumpur yang bakal berlangsung pada 16 September ini turut ditemani cinta hatinya, Mohd. Sharidan.
KOSMO!: Selepas sekian lama menyepi, kini Saerah kembali dengan penampilan baharu tanpa bertudung. Sejak bila keputusan itu diambil?
SITI SAERAH: Saya mula tidak lagi berhijab kira-kira dua tahun selepas bercerai. Tidak semestinya apabila seseorang yang berhijab dia sudah sempurna 100 peratus, dan diakui diri saya ini bukanlah seorang yang sempurna.
Mengapa anda berbuat keputusan demikian?
Sebenarnya saya tidak mahu lagi menipu diri semata-mata ingin kelihatan baik dan sopan di hadapan orang. Lebih baik saya begini (tidak berhijab). Saya juga tidak kisah tentang pandangan orang lain, cuma diharapkan masyarakat dapat mendoakan yang terbaik buat saya. Apabila tiba masanya, saya pasti akan berhijab dengan sempurna.
Selepas bercerai, kehadiran anda dalam industri terus dipandang sepi, namun kini kembali menerusi karnival KLXtravaganza. Adakah anda mempunyai sebarang perancangan untuk kembali aktif?
Benar, hari ini merupakan penampilan pertama saya selepas empat tahun menyepi. Saya memang dalam perancangan untuk kembali bernyanyi dan baru sahaja merakamkan sebuah single baharu berjudul Hanya Restu. Lagu berkonsepkan rock indie ini merupakan ciptaan Sharon Paul, manakala liriknya pula ditulis oleh Ahmad Fedtri Yahya.
Mengapa keputusan untuk kembali aktif dalam bidang seni suara ini dibuat?
Ramai yang bertanya dan memberi pendapat agar saya menyanyi semula. Mereka memberitahu, saya mempunyai potensi besar dalam bidang ini dan perkara itu memberi semangat buat saya. Tambahan pula semua yang dirancang pada tahun ini berjalan dengan lancar, jadi seiring dengan minat menyanyi, saya rasa inilah masa yang sesuai untuk kembali aktif.
Siti Saerah juga terbuka memperkenalkan teman lelakinya, Sharidan kepada umum.
Adakah anda sudah bersedia untuk menghadapi rencam dan sepak terajang yang kebiasaannya dilalui oleh anak seni?
Apabila sudah mengambil keputusan untuk aktif, ini bermakna saya sudah bersedia menghadapi sebarang kontroversi yang bakal datang. Kakak saya, Siti Nurhaliza juga pernah berpesan untuk tidak mempersiakan peluang kedua ini, jadi saya harap perkara yang positif sahaja berlaku nanti.
Selepas empat tahun bergelar ibu tunggal, mungkin boleh kongsikan tentang status anda sekarang?
Ya, saya sedang bercinta dengan seorang jejaka berusia 30 tahun berasal dari Muar, Johor. Teman lelaki saya merupakan kenalan lama sejak tahun 2009. Saya bertemu dan mula rapat dengan Mohd. Sharidan sejak setahun lalu.
Bagaimana dengan penerimaan anak-anak dan perancangan untuk mendirikan rumah tangga?
Hubungannya dengan anak-anak Ummi Umairah, 6, Ahmad Daiyan, 5, dan Ahmad Aisy, 4, sangat baik. Insya-Allah, jika tiada halangan kami akan mendirikan rumah tangga pada tahun depan. Doakan yang terbaik buat kami.
Bagaimana pula dengan perkembangan lain?
Untuk pengetahuan, saya baru sahaja membuka sebuah kelas zumba di Muar, Johor. Kelas yang diberi nama Zumba Lifestyle itu baru beroperasi selama sebulan, jadi saya akan berulang-alik antara Muar dan Kuala Lumpur jika terdapat tawaran untuk mengadakan persembahan nyanyian.