Jutawan kosmetik, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali dengan nama Datuk Seri Vida (DSV) mengumumkan kerjasamanya dengan jenama terkemuka, Louis Vuitton (LV) untuk menghasilkan produk beg tangan jenama sendiri iaitu DSV-LV.
Rekaan beg tangan mengikut tempahan itu akan tersedia untuk pasaran Asia Tenggara menjelang tahun depan.
DSV memiliki lebih 100 beg tangan LV tempahan khusus yang boleh dilihat menerusi foto-foto yang dimuat naik menerusi akaun Instragram miliknya.
“Sesetengah pihak menuduh saya menunjuk-nunjuk kekayaan saya, namun sebenarnya perkara tersebut adalah bentuk promosi, iklan awal mengenai apa yang akan ada selepas ini.
“Semua orang tahu saya sangat sayangkan beg tangan saya, tetapi saya tidak mempunyai keupayaan untuk menghasilkan produk beg tangan saya sendiri, memandangkan membuat beg tangan bukan kepakaran saya. Jadi, untuk kali ini, saya bekerjasama dengan LV,” katanya.
Tambah DSV, dia akan memastikan rekaan beg tangan yang bakal dipasarkan cantik, ‘rare’ dan unik khusus untuk peminat-peminatnya yang berada di Asia Tenggara. Beg tangan itu juga harus mempunyai ‘bling bling’ dan ‘sling’.
Kolaborasi ini menjadikan DSV sebagai wanita pertama Asia Tenggara berjaya menambat hati LV, selain diangkat sebaris dengan personaliti lain yang pernah diberi penghargaan oleh jenama popular tersebut untuk berkolaborasi.