Sisi berbeza Bill Skarsgard


Nama Bill Skarsgard barangkali tidak semegah nama abangnya, Alexander Skarsgard yang beberapa kali dipilih untuk membintangi filem-filem pecah panggung seperti Battleship, Zoolander 2 dan The Legend Of Tarzan.

Namun, anak kepada pelakon veteran Stellan Skarsgard itu tidak pernah cemburu apatah lagi memandang kejayaan yang dikecapi oleh abang sulungnya sebagai pematah semangat untuk terus berkarya dan mencipta nama di peringkat global.

Bermula sebagai pelakon sampingan bersama Alexander menerusi filem White Water Fury sekitar 17 tahun lalu, Bill yang dilahirkan di Vällingby, Sweden itu dilihat begitu cekal berusaha dalam meletakkan dirinya sebagai pelakon filem serba boleh.


Trailer Filem It

Penat lelah Bill, 27, akhirnya terbayar pada tahun lalu apabila dia menerima tawaran untuk menjayakan watak kecil bernama Matthew menerusi filem terbitan Amerika Syarikat pertamanya, The Divergent Series: Allegiant.

Bertitik tolak daripada kejayaan tersebut, karier Bill mula mengencang dan kehadirannya sebagai pelakon baharu mendapat perhatian serius oleh karyawan di Hollywood.

Buktinya, selepas muncul menerusi filem aksi Atomic Blonde yang turut dijayakan oleh Charlize Theron dan James McAvoy, nama Bill kembali menjadi sebutan apabila filem seram berjudul It mula ditayangkan pada 7 September lalu.


Trauma. Watak It yang dimainkan Bill mampu meninggalkan trauma dalam kalangan kanak-kanak kerana sisi misteri dan seram yang ditonjolkan.

Merupakan naskhah adaptasi novel popular tulisan Stephen King, Bill yang memegang watak badut Bob Gray atau Pennywise The Dancing Clown meletakkan harapan tinggi terhadap filem bikin semula yang pernah mencetuskan fenomena sekitar tahun 1990 itu menerusi siri pendek berjudul sama.

“Sedikit pelik sebenarnya menjayakan watak badut yang perlu menakutkan kanak-kanak. Hal ini kerana, jika saya mampu merealisasikan watak tersebut dengan baik, pelakon kanak-kanak yang lain akan mengalami trauma,” ujar pemilik nama lengkap Bill Istvan Gunther Skarsgard itu dalam nada jujur ketika memulakan bicara.

Menyifatkan watak tersebut sebagai unik dan jauh berbeza dengan watak yang pernah dijayakan sebelum ini, Bill berkata, dia cuba untuk mengekalkan karakter Pennywise yang suram dan penuh misteri walaupun sebelum penggambaran dimulakan.

“Ketika berada di set, saya bukanlah pelakon yang mesra. Saya cuba untuk mengekalkan kecanggungan karakter tersebut, lebih-lebih lagi apabila telah siap disolek.

“Sehingga ada pelakon yang berada berdekatan set terkejut kerana melihat saya buat kali pertama mengenakan kostum Pennywise.

“Ada juga pelakon kanak-kanak menangis dan meraung ketika penggambaran dimulakan. Sejujurnya, reaksi mereka sungguh mengejutkan sehingga membuat saya berfikir beberapa kali mengenai keputusan saya untuk menjayakan watak tersebut,” ujarnya panjang lebar.

Mengimbau kembali filem arahan Andy Muschietti itu, watak Pennywise yang digambarkan sebagai badut syaitan telah banyak diubah berbanding watak di dalam drama siri.

Menerusi versi moden, Pennywise digarap lebih agresif dan penonton ditinggalkan dengan tanda tanya mengenai asal dan sebab ia menjadikan kanak-kanak sebagai makanannya.

Mengulas lanjut mengenai karakter tersebut, Bill yang menjadikan karya Stephen King sebagai bahan rujukan utama sebelum memulakan penggambaran meletakkan It sebagai entiti tanpa pengenalan yang gemar menyerupai seorang badut.

“Menerusi apa yang terkandung dalam buku, Pennywise merupakan jelmaan It, iaitu hantu yang boleh berubah bentuk menjadi sesiapa sahaja mengikut kehendaknya.

“Barangkali, It begitu menggemari karakter Pennywise ini dan mengambil keputusan untuk kekal dalam tubuh badut tersebut bagi meneruskan aktivitinya memburu kanak-kanak,” katanya.


Sensasi. Naskhah terkini yang diadaptasi daripada novel It, tulisan Stephen King ini dijangka mampu mengutip sebanyak RM300 juta sebaik ia mula ditayangkan di seluruh dunia sekitar tiga hari lalu.

Tambah Bill, dari aspek lakonan, dia lebih menggemari untuk meneroka karakter dan tingkah laku It berbanding Pennywise yang lebih psiko.

“Sejujurnya, saya rasa watak It lebih berat untuk dijayakan kerana ia tidak sesempurna Pennywise. Tambahan pula, ia boleh berubah dari segi fizikal dan juga emosi,” katanya yang turut menganggap watak It lebih menarik berbanding Pennywise.

Melihat pada kesungguhannya bercerita tentang watak It dan Pennywise, barangkali ramai yang tidak menyangka Bill merupakan calon gantian selepas pelakon Will Poulter menolak tawaran produksi kerana jadual kerjanya terlalu padat.

Berkongsi pengalaman ketika hadir ke sisi uji bakat, Bill berkata, dia begitu teruja untuk mendapatkan watak tersebut dan berusaha sehabis baik di hadapan pengarah It, Andy Muschietti yang turut hadir ketika itu.

“Bagi seorang pelakon berusia lewat 20-an yang selalu menerima watak santai, ditawarkan untuk menghadiri uji bakat bagi sebuah karakter ‘gelap’ merupakan satu penghargaan bagi saya.

“Ketika membaca dialog di hadapan Andy, saya fokus dan cuba sebaik mungkin untuk memberikan interpretasi berbeza bagi watak It dan Pennywise.

“Hasilnya, saya diterima dan sesi uji bakat tersebut merupakan sesi yang akan diingati sehingga bila-bila,” katanya lagi.

Sebelum menutup perbualan, Bill ditebak dengan soalan adakah dia menganggap dirinya sebagai seorang pelakon yang bagus.

Jawab Bill spontan: “Saya merupakan pelakon yang bagus dan kadangkala juga boleh menjadi pelakon yang teruk.

“Sebabnya mudah. Untuk menjadi pelakon yang bagus dan sedar tentang bakat yang ada, kita perlu menerima bahawa diri kita tidak pernah sempurna,” tutup Bill.

[Other Promo]

Post a Comment

Previous Post Next Post