Ryan Phillippe disaman bekas kekasih


Aktor popular Hollywood, Ryan Phillippe, 43, dilaporkan disaman bekas kekasihnya, Elsie Hewitt sebanyak AS$1 juta (RM4.2 juta).

Menurut portal E! News, Elsie memfailkan saman kerana mendakwa dikasari Phillippe ketika mereka masih memadu asmara awal Julai lalu.

Insiden terbabit dikatakan benar-benar memberi kesan kepada model majalah Playboy itu sehingga dia dikatakan mengalami gangguan emosi dan fobia.

Elsie mendakwa, aktor yang terkenal menerusi filem Shooter itu bertindak menumbuk, menendang dan menolaknya dari tangga hingga menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi.

Kata sumber, ketika Elsie menaiki tangga untuk mengambil segala barang kepunyaannya, Phillippe dikatakan berulang kali mencengkam tangannya. Dia juga menyepak dan menumbuk berulang kali sehingga meninggalkan lebam.

Sumber terdekat Phillippe bagaimanapun memberitahu E! News bahawa tiada perintah larangan mendekati Elsie dikeluarkan pihak berkuasa terhadap aktor itu setakat ini.

Dalam pada itu, Phillippe menafikan segala tuduhan yang dibuat bekas kekasihnya dan menjelaskan ia adalah palsu.

Dalam laman sosial Twitter miliknya, Phillippe mengakui sedih dengan tuduhan palsu yang mengaitkan namanya.

“Ketika tuduhan kali pertama dilakukan, saya bekerjasama dengan pihak berkuasa dan menyerahkan kes ini disiasat dengan terperinci.

“Sebagai lelaki yang dibesarkan oleh wanita, saya tidak akan sesekali menyakiti apatah lagi mengasari golongan terbabit,” katanya.

Kata Phillippe, pendedahan yang dibuat bekas kekasihnya itu dianggap tuduhan yang tidak masuk akal.

“Semua tuduhan yang dibuat tidak betul. Saya bukan seorang lelaki yang sebegitu. Setiap tuduhan yang dibuat salah dan saya sangat kecewa dengannya,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post