Biarpun bermula sebagai pelawak, Fikry tidak meletakkan had untuknya terus melebarkan sayap dalam bidang lakonan dan pengacaraan.
Penampilan awal jejaka berkulit hitam manis ini, sewaktu pembabitannya dalam program realiti Lawak Solo. Ketika itu bakatnya sudah mula menonjol hingga menempatkan dirinya ke pentas akhir yang juga dinobatkan sebagai tempat ketiga dalam pertandingan tersebut.
Bagaimanapun, ketika pembabitannya itu, pemilik nama pentas Fikry Ibrahim ini masih lagi bergelar penuntut di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor dalam jurusan pengiklanan.
Atas komitmen tersebut, dia kemudian membuat penangguhan pembelajaran seketika bagi membolehkan dirinya memberikan fokus kepada program berkenaan.
Sungguhpun begitu, siapa sangka, tuahnya dalam bidang seni ini semakin terbuka luas. Biarpun memasang cita-cita untuk bergelar pelawak, pentas Raja Lawak kemudian membawa jejaka berusia 23 tahun itu kepada dunia pengacaraan dan lakonan.
Sehinggakan jadualnya kini, sudah mula padat dengan aktiviti seni. Pada masa sama, tempoh penangguhannya itu juga sudah mencecah satu tahun lamanya.
“Itulah, saya sekarang kena kembali semula ke kuliah untuk habiskan baki dua semester lagi untuk tamatkan pengajian di universiti. Lagipun, saya sudah tidak boleh sambung lagi tempoh penangguhan kerana sudah cukup tempoh maksimum iaitu setahun. Kalau ikutkan bulan depan saya sudah kena kembali ke kuliah,” katanya kepada Sensasi Bintang baru-baru ini.
Biarpun begitu, kata pelakon Hero Seorang Cinderella itu, dia tidak berdepan masalah. Apa yang penting, dia kini perlu bijak dalam menguruskan masa dengan lebih bijak.
Ini kerana, katanya, belajar sambil bekerja memerlukan komitmen yang tinggi dalam memastikan kedua-dua perkara itu dapat ditempuhi dengan jayanya.
“Buat masa ini, saya memang terikat dengan jadual penggambaran drama bersiri. Jadi, kalau ikutkan dengan keadaan sebegini memang agak sukar. Kena pandai bahagikan masa.
“Sekarang saya tengah runding dengan pihak berkaitan. Tambahan pula, saya masih ada lagi lapan subjek untuk dihabiskan,” kongsi pelakon kelahiran Jitra, Kedah itu.
Katanya, apa jua yang diceburi, pelajaran perlu diberikan keutamaan.
“Dunia belajar dengan apabila sudah bekerja ini memanglah berbeza. Tapi kalau kita mahu kejar populariti sahaja sampai bila boleh bertahan, apa pun pendidikan itu yang penting.
“Apa pun, saya bersyukur dengan setiap peluang yang diperoleh dalam bidang seni ini. Ini merupakan satu bentuk pelajaran berguna juga buat saya,” kongsinya yang bakal muncul dengan drama berjudul Syurga Bukan Percuma lakonannya bersama Elfira Loy.