Aktor Fattah Amin mahu memperbaiki mutu lakonan dan nyanyian dengan menyertai kursus meningkatkan kemahiran berkenaan, mulai tahun depan.
Fattah atau nama penuhnya, Fattah Mohd Amin, 27, memberitahu dia mahu membuat penambahbaikan terhadap jenama dirinya 'Fattah Amin'.
Sehubungan itu, Fattah mahu diberi ruang dan masa melakukannya.
"Ini adalah perancangan untuk 2018. Saya ingin perbaiki diri untuk berdepan dunia yang penuh mencabar.
"Bagaimanapun, saya tidak bermaksud mahu mengurangkan aktiviti seni. Sebaliknya, memberi lebih ruang untuk memperbaiki jenama 'Fattah Amin'," katanya.
Memperhalusi rancangannya itu, Fattah berkata, penambahbaikan yang akan dilakukan termasuk dalam aspek lakonan dan vokal nyanyian.
"Saya mahu mendalami skil dengan menyertai kelas lakonan dan memperbaiki mutu nyanyian bagi persembahan pentas. Saya juga mahu mengikuti kursus perniagaan," katanya.
Tambah Fattah, sebaik perancangan bermula, setiap tawaran diterima akan disesuaikan dengan komitmennya terhadap kursus yang diambil.
Sementara itu, Fattah berkata, dia cukup peka dengan setiap kritikan peminat malah memandangnya secara serius.
"Saya sentiasa mengambil berat setiap kritikan dan komen semua pihak. Ini satu cara saya menghargai setiap perhatian dan sokongan diberi," katanya.