Dedikasi Ella Buat Suami


Ella bersama suami, Azhar Ghazali.

Pengorbanan Azhar Ghazali terhadap isterinya, Ella, sepanjang dua tahun Ratu Rock Negara itu bertungkus lumus menyiapkan album terbaharu nampaknya bukan kerja sia-sia.

Ella memberitahu dia mendedikasikan sebuah lagu berjudul Peace. Love. Rindu. kepada suami tercinta sebagai tanda terima kasih atas pengorbanan dan sokongan tidak berbelah bahagi terhadapnya.

Malah dedah Ella dia memilih lagu itu kerana melodi dan lirik hasil nukilan Lord kena dengan kisah mereka sepanjang lima tahun bergelar suami-isteri.

"Sepanjang proses menyiapkan album ini, suami banyak berkorban masa malah sering menemani saya ke studio rakaman apabila dia tidak bertugas.

"Malah suami saya juga ada juga memberi idea dan membantu saya membuat keputusan dalam memilih lagu untuk dimuatkan dalam album ini.


Ella dedikasikan lagu Peace. Love. Rindu kepada suami tercinta.

"Kebetulan lagu Peace. Love. Rindu yang juga judul album sangat bermakna dan sebab itu saya pilih untuk dedikasikan kepada suami," katanya.

Ella ditemui pada majlis pelancaran album terbaharunya, Peace. Love. Rindu. yang diadakan di Hotel Le Meridien Kuala Lumpur, Khamis.

Album yang memuatkan sebanyak lapan buah lagu itu mendapat sentuhan daripada komposer dan penulis lirik seperti Datuk M. Nasir, AG Coco, Sam Bunkface, Omar K, Ezra Kong, Faizal Tahir, Edrie Hashim, Buddhi Hikayat dan Ed Samad.

Untuk rekod, Ella atau Norzila Aminudin, 51, kali terakhir tampil dengan album penuh menerusi Rama-Rama pada 2007.

Dalam pada itu, Ella enggan mendedahkan mengapa dia memilih lagu tersebut untuk ditujukan kepada suami kerana ingin ia menjadi rahsia peribadi di antara mereka berdua.

"Rahsia... Tapi kalau anda dengar dan hayati lirik lagu itu mungkin akan dapat jawapannya," ujar Ella.

Bercakap mengenai Peace. Love. Rindu., Ella berkata, penantian selama 10 tahun sangat berbaloi kerana album itu dihasilkan dengan teliti terutama dari segi pemilihan lagu.

Malah kata Ella, menerusi buah tangan terbaharunya ini, peminat dapat mendengar transisi muzik rocknya yang lebih perlahan sesuai dengan imejnya kini.


Penulis lirik, komposer dan penerbit yang terlibat dalam album terbaharu Ella.

"Memang tempoh 10 tahun itu sangat lama tetapi Alhamdulillah saya ingin beri sesuatu yang berbaloi kepada peminat dan Insya-Allah mereka akan menyukainya.

"Untuk Peace. Love. Rindu saya ketengahkan genre rock yang tidak terlalu keras kerana saya inginkan satu titik keseimbangan kerana ingin menghormati imej saya selain beberapa faktor lain.

"Alhamdulillah semua yang saya inginkan terhasil dalam album ini dengan bantuan semua komposer, penulis lirik dan penerbit," katanya.

Memilih Ku Sedia sebagai single pertama, Ella juga memberitahu dia juga sudah menyiapkan muzik video lagu itu yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Selain itu, Ella juga bersama syarikat rakamannya Universal Music Malaysia sedang merangka persembahan jelajah bagi mempromosikan album terbaharunya itu.

[Other Promo]

Post a Comment

Previous Post Next Post