Boy Iman dilihat berjaya dengan perniagaannya.
Laman Facebook PW Community mendakwa pelakon dan usahawan Datuk Boy Iman cuba melakukan penipuan penjualan rumah melalui syarikat DBI Homes.
Dalam statusnya PW Community mendakwa, DBI cuba mengutip dana untuk menipu orang awam dengan menggunakan helah menjual rumah berharga semasa RM200,000 pada harga RM50,000.
Dakwanya, mustahil untuk membina rumah seperti rekaan yang dijanjikan dengan nilai tersebut dan ia kelihatan DBI Homes bersedia menanggung kerugian.
“DBI bukan yang pertama menawarkan rumah pada harga rumah mampu milik, malah ada syarikat lain turut melakukan perkara yang sama sebelum ini iaitu Alfafa.
“Syarikat tersebut juga turut melantik Boy Iman sebagai duta dan kini dia telah menukar jenama pembohongan Alfafa kepada DBI Homes,” tulisnya.
Posting tersebut yang di muat naik pada 6 September lalu mendapat lebih 10,000 likes dan lebih 11,000 perkongsian.
Boy Iman banyak diraikan atas kejayaan dicapai.
PW Community turut mendakwa, DBI Homes menggunakan teknik skim piramid dalam mengumpulkan dana dan menawarkan rumah dengan harga murah sebagai tarikan.
“Apabila perlu cari downline bermakna dana yang dikumpulkan oleh DBI akan menjadi berlipat kali ganda secara pyramid scheme dan semestinya permainan licik sebegini senang dapat sambutan.
“Kita lambat bertindak untuk kekang scam Alfafa. PW mula buat isu bila keadaan telah jadi serius dan dalam kes DBI kita berpeluang untuk lenyapkan penipuan sebelum ia kukuh bertapak.
“DBI kini hanya pada peringkat permulaan dan kita kena lenyapkan DBI dengan segera supaya masyarakat awam tidak menjadi mangsa,” dakwanya.
Menerusi status itu, lebih 2,000 komen telah ditinggalkan dan kebanyakan bersetuju dengan tulisan laman tersebut.
Sementara itu, Boy Iman atau nama sebenar Norul Iman Abd Rahman memaklumkan dia sudah membaca status yang dimuat naik di laman sosial tersebut.
Malah, pelakon filem Blok 404 itu menafikan dakwaan berkenaan dan memberitahu akan mengambil tindakan undang-undang kepada pemilik laman Facebook tersebut
"Itu fitnah dan saya sudah berbincang dengan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang minggu ini.
"Buat apa nak menipu, saya ini selebriti yang dikenali dan tidak boleh lari kemana-mana.
"Kalau ada sesiapa yang menjadi mangsa penipuan saya sila kemukakan bukti dan buatlah laporan polis," katanya kepada mStar Online.
Dalam pada itu, Boy pula mendakwa pengendali laman Facebook tersebut telah dibayar oleh pihak tertentu untuk menjatuhkan perniagaannya.
Boy Iman turut melantik Datuk Nassier Wahab sebagai duta syarikatnya.
Boy turut menjelaskan harga rumah dibina murah kerana pembeli harus memiliki tanah sendiri.
"Saya mendapat tahu laman tersebut telah dibayar oleh kontraktor binaan yang tidak berpuas hati dengan harga rumah yang kami tawarkan.
"Rumah murah yang kami bina itu terhad dan kalau nak tahu kita ada bina rumah berharga lebih RM500,000.
"Tidak apalah, saya sudah biasa dihentam dan tunggulah tindakan saya selanjutnya," katanya yang tidak mahu terus dikaitkan dengan syarikat Alfafa Group.
Terdahulu, Boy pernah dilantik menjadi duta kepada syarikat tersebut pada tahun 2013.
Alfafa Group merupakan milik Norsham Abd Aziz turut menjalankan perniagaan yang serupa seperti DBI Homes.