Selektif. Itulah jawapan ringkas tapi cukup padat pelakon versatile, Beto Kusyairy untuk menggambarkan bagaimana dia mempertahankan prinsipnya bagi memastikan kerjaya seninya sentiasa berada di landasan yang betul.
Lebih 10 tahun dalam bidang lakonan, Beto mengakui populariti bukan sasaran utamanya tetapi percaya kualiti kerja menjadi kayu ukur kedudukannya dalam industri.
“Mungkin bila kita cakap tentang selektif, orang akan fikir kita macam bagus dan sebagainya. Tapi ada sebab kenapa saya mengambil pendekatan itu seawal berada dalam bidang ini," ujar Beto.
Atas prinsip itulah, Beto bersyukur kerana tawaran kerja datang dengan pilihan sesuai, malah sikap selektif itu juga mengelaknya terjebak pelbagai masalah remeh di lokasi.
Tambah Beto, sikap selektif itu mungkin akan menyebabkan tawaran kerjanya terhad dan memberi kesan kepada kelangsungan kerjaya tetapi dia tetap akan mempertahankan pendiriannya selagi mampu.
Bukan sahaja memilih naskhah yang bagus, Beto juga lebih selesa bekerja dengan mereka yang serius agar usaha itu memberi hasil terbaik untuk semua.
“Saya pernah menolak beberapa tawaran yang bagus kerana kurang selesa bekerja dengan mereka yang saya tahu tidak serius. Berlakon pun macam pekerjaan lain, kita cari rezeki, jadi kena bertanggungjawab dan tak boleh nak main-main, datang set tanpa persediaan, disiplin tak jaga dan sebagainya," kata Beto yang menganggap set penggambaran bukan tempat untuk baru belajar tetapi menunjukkan cara kerja yang baik.
Dalam pada itu, Beto yang pernah dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik Filem di Anugerah Skrin 2015 memberitahu bakal tampil dalam filem terbaru, Bisik Pada Langit pada 21 September ini.
Bagi Beto, filem ini adalah naskhah yang tidak harus dia lepaskan kerana datang bersama pakej lengkap menerusi jalan cerita yang hebat, selain pengarah dan barisan pelakon yang serius dengan kerja mereka.
“Sebuah kisah kekeluargaan yang sangat menyentuh hati di mana saya memegang watak Zaidi, abang sulung kepada tiga beradik yang perlu berdepan dengan karenah bapa, dijayakan oleh Jalil Hamid dengan begitu berkesan.
“Filem ini tiada elemen komersial sebagaimana kebiasaan filem lain, tapi saya sukakan karya ini. Saya harap apa yang kami berikan ini sampai kepada masyarakat dan itu memberi kepuasan yang besar kepada kami,” katanya.
Aktif berlakon di Singapura
Tidak hanya terikat dengan kerjaya seni di tanah air, Beto kini semakin popular di Singapura apabila drama, Kisah Tok Kadi mendapat sambutan hangat di sana.
Beto juga pernah diiktiraf sebagai Pelakon Lelaki Terbaik di Malam Pesta Perdana 2017 sekali gus membuka ruang yang lebih besar di negara itu.
Pelakon ini menganggap itu semua peluang menimba pengalaman, tambahan kerjanya dihargai tanpa sebarang prejudis.
“Terbaru drama ini sedang menjalani penggambaran untuk musim kedua dan saya banyak menghabiskan masa di sana,” katanya.
Ditanya tidakkah dia berhasrat mengembangkan kerjaya seninya di Indonesia yang dilihat lebih besar peluangnya, Beto tidak menolak kemungkinan tersebut jika ada rezeki untuk berbuat demikian.
“Kalau ada tawaran, apa salahnya mencuba. Tapi buat masa ini biarlah saya fokus dengan apa yang ada di depan mata kerana peluang ini juga tidak kurang menariknya,” ujarnya.
Biarpun sudah lama bergelar anak seni, Beto yang telah memenangi pelbagai anugerah dari dalam dan luar negara ini masih merasakan banyak lagi perlu diperbaiki ke arah menjadi yang terbaik.
“Saya minat berlakon dan sentiasa percaya banyak lagi ruang yang perlu diterokai untuk memperbaiki diri. Sebab itu saya pernah tolak tawaran sebagai pengarah kerana mahu menumpukan kepada lakonan dan belum sedia menambah komitmen dengan tugas baru itu.
“Saya seorang realistik dan rasanya ilmu pun belum cukup untuk berada di kerusi pengarah. Biarlah mereka berkelayakan sahaja mengisi peluang itu,”akhirinya.